KULIM: Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan jalan raya di Mahang, di sini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Mutiara Sungai Kob, petang ini.
Pengebumian Allahyarham Muhammad Syazwan Mohd. Surodjidin, 25, bersama dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2, dalam satu liang selesai pada pukul 6.15 petang.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi pekarangan masjid berkenaan yang dihadiri lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk setempat yang turut menunaikan solat jenazah.
Nor Hamiza Halid, 25, kelihatan tabah ketika mengiringi jenazah suami dan dua anaknya dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas selesai proses bedah siasat.
Tiga buah van jenazah membawa ketiga-tiga mangsa tiba di pekarangan masjid pada pukul 4.15 petang.
Dalam nahas di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kob, semalam, Perodua Viva dipandu Muhammad Syazwan bersama dua anaknya bertembung dengan Proton S70 yang dipercayai cuba memotong kenderaan lain sehingga memasuki laluan bertentangan. – UTUSAN










