Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa mampu rapatkan jurang politik Melayu

Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa mampu rapatkan jurang politik Melayu

ISMAIL SABRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa dapat menjadi wadah untuk membuka ruang penyatuan, merapatkan jurang perbezaan serta menyatukan kekuatan politik Melayu termasuk membawa masuk semula mereka yang kini berada di luar UMNO.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, gagasan yang dibawa oleh Presiden UMNO berpotensi menjadi platform untuk mengukuhkan kembali kekuatan politik Melayu secara menyeluruh.

Ini kerana katanya, UMNO perlu bangkit dan keluar daripada nostalgia kegemilangan lalu serta menerima realiti bahawa sokongan orang Melayu terhadap parti itu kini hanya sekitar 28 peratus.

“Saya menyambut baik ucapan Presiden UMNO khususnya penekanan terhadap penyatuan berbanding pemisahan sebagai langkah penting bagi memperkukuh UMNO.

“Dalam keadaan semasa, penyatuan ummah Melayu amat penting bagi memastikan kedudukan agama dan bangsa terus terpelihara serta tidak terancam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Bera itu juga berharap semua pihak ikhlas dan jujur dalam melaksanakan agenda besar tersebut demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

“Usaha penyatuan ini perlu dilaksanakan dengan komitmen bersama agar matlamat memperkukuh UMNO dapat direalisasikan,” katanya.

Terdahulu, UMNO mengumumkan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula bekas ahli parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan semula itu boleh dilakukan secara individu atau en bloc (serentak). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN