Jangan salahkan Pas bagi tutup kelemahan PN

Jangan salahkan Pas bagi tutup kelemahan PN

DAKWAAN bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad adalah cuba untuk mengalihkan perhatian dari punca sebenar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan menunding jari terhadap Pas dalam kemelut yang menimpa Perikatan Nasional (PN) sehingga kekosongan jawatan Pengerusi tidak dapat diisi adalah tidak wajar.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, dakwaan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad adalah cuba untuk mengalihkan perhatian dari punca sebenar.

Kata beliau, kenyataan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar yang menyebut ‘your time is finished’ disalah tafsir apabila dikaitkan sebagai serangan terhadap Muhyiddin secara peribadi.

“Lepas sudah meletakkan jawatan maka wajarlah masa anda sebagai Pengerusi (PN) telah berakhir.

“Tetapi kalau selepas meletak jawatan, anda masih cuba menguasai, mengawal organisasi, menentukan siapa pengganti dan lebih teruk ada usaha mengembalikan anda sebagai ketua, itulah maksudnya your time is finished,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Marzuki berkata, peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Tertinggi PN (MT PN) walaupun surat perletakan jawatan telah dikemukakan berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Dalam pada itu, Nurul Islam berkata, Pas tidak pernah menafikan wujud perselisihan dalaman parti itu di Perlis.

Bagaimanapun, katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sepatunya mengambil kesempatan dengan menghantar cama calon Menteri Besar ketika Pas sedang menyelesaikan krisis dalamannya.

“Pas akui ada perselisihan dalaman Pas. Pas sedang menguruskan. Tapi yang jadi masalah adalah apabila Bersatu Perlis ambil kesempatan menghantar nama Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan menangani isu tersebut membuktikan kelemahan kawalan kepimpinan PN di peringkat pusat apabila tiada tindakan tegas diambil terhadap pimpinan Bersatu negeri.

“Apa tindakan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN? Nothing. Keluar kenyataan dia tak pernah arah sign SD (akuan bersumpah) dan tak pernah arah tarik sokongan kepada Menteri Besar Perlis daripada Pas.

“Disitu nampak betapa lemahnya kepimpinan Muhyiddin apabila gagal mengawal Pengerusi Bersatu negeri dan kerana itulah penyokong PN mendesak beliau berundur,” katanya.

Tambahnya, tindakan menyalahkan Pas atas krisis PN adalah tidak adil dan tidak menyelesaikan masalah sebenar sambil mengingatkan bahawa hala tuju gabungan itu hanya dapat diperbetulkan melalui kepimpinan yang jelas tegas dan konsisten. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN