BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua kementerian dan agensi kerajaan supaya tidak terus bergantung kepada kartel kerana amalan itu menekan rakyat serta menyebabkan negara menanggung kerugian kewangan yang besar.
Perdana Menteri berkata, kebergantungan kepada kartel bukan sahaja berlaku dalam sektor kesihatan, malah, turut melibatkan pertahanan, pembinaan, makanan asas dan beberapa sektor strategik lain sejak sekian lama.
”Janganlah bergantung kepada kartel. Di Pertahanan (Kementerian Pertahanan) kartel, di kesihatan (Kementerian Kesihatan) kartel dan di Jabatan Kerja Raya (JKR) kartel.
”Jadi, akhirnya kita ini hidup ditekan oleh kelompok kartel dengan harga yang melambung tinggi. Saya suka isu-isu besar ini didedahkan kepada rakyat sebab sudah tahu betapa sukar kita betulkan perkara ini,” katanya berucap pada majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya di sini, hari ini.
Anwar berkata, kestabilan politik memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar yang tegas dan berani demi menjaga kepentingan rakyat serta memastikan dana negara diurus dengan lebih telus dan berintegriti.
”Kita tidak selesaikan semua masalah dalam sekelip mata, tetapi jika kartel dihentikan dan pembaziran ditutup, lebih banyak dana boleh dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, dalam sektor kesihatan khususnya pembelian ubat-ubatan, kerajaan tidak wajar terikat dengan mentaliti lama yang terlalu bergantung kepada ubat mahal dari Eropah atau Amerika Syarikat.
”Takkanlah selepas 70 tahun merdeka baru kita nak fikir soal penggunaan ubat generik. Sedangkan ada ubat yang selamat dan berkesan dengan harga jauh lebih murah.
”Ubat generik dari negara seperti India, Brazil, Turkiye dan China mampu memenuhi keperluan keselamatan kesihatan tanpa memerlukan siasatan berpanjangan yang melambatkan penjimatan kos,” katanya.
Katanya, langkah Kementerian Kesihatan (KKM) beralih kepada penggunaan ubat generik berjaya menjimatkan hampir RM900 juta, sekali gus membuktikan perubahan dasar mampu memberi manfaat besar kepada kewangan negara.
Beliau berkata, selagi kerajaan terikat dengan sistem lama dan kartel, usaha menambah peruntukan bagi pembinaan hospital baharu, menaik taraf kemudahan kesihatan dan membuka lebih banyak klinik akan terus terbantut.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga berjaya menamatkan kartel dalam industri ayam yang sebelum ini memerlukan peruntukan sekitar RM1.2 bilion setahun bagi mengekalkan harga pasaran.
“Hasil tindakan tegas, kita berjaya menghentikan kebergantungan itu dan menjimatkan RM1.2 bilion setahun.
“Penjimatan hasil penstrukturan subsidi, pembanterasan kartel serta ketirisan membolehkan kerajaan meningkatkan gaji penjawat awam dan menyalurkan bantuan Tunai Rahmah serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tanpa mengenakan cukai baharu,” katanya. – UTUSAN










