Jaminan bank syarat mandatori agensi pelancongan tawar pakej umrah

Jaminan bank syarat mandatori agensi pelancongan tawar pakej umrah

ANTARA jemaah umrah yang terkandas selamat tiba di KLIA semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah dikenakan syarat mandatori jaminan bank berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, beliau mengarahkan pelaksanaan segera syarat itu bagi memastikan wang jemaah sentiasa dilindungi dan pampasan dapat disalurkan tanpa kelewatan sekiranya berlaku penipuan, kecuaian atau kegagalan agensi.

Beliau berkata, langkah itu bukan satu beban kepada pengusaha yang jujur, sebaliknya satu tindakan tegas untuk membina sebuah ekosistem pelancongan yang selamat dan boleh dipercayai serta mengembalikan keyakinan rakyat.

“Sejak tahun lalu, kementerian ini telah mengumumkan hasrat untuk melaksanakan kewajipan Bank Guarantee sebagai syarat utama pelesenan agensi pelancongan, khususnya pengendali pakej umrah, di bawah peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

“Insiden yang berlaku (36 jemaah umrah terkandas) sekali lagi membuktikan bahawa langkah ini bukan sahaja wajar, malah semakin mendesak untuk dilaksanakan demi melindungi jemaah dan pengguna daripada pengusaha tidak bertanggungjawab serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap industri umrah dan pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, 36 jemaah umrah dilaporkan terkandas di Madinah selepas agensi Al Aisy Travel & Tours Sdn. Bhd. gagal menyediakan penginapan dan tiket penerbangan pulang seperti yang dijanjikan.

Jemaah berkenaan, termasuk warga emas dan kanak kanak, telah membuat bayaran penuh RM7,600 seorang dan terpaksa berdepan tekanan kewangan serta emosi apabila agensi tersebut mengabaikan tanggungjawab asas mereka sehingga kumpulan ini terpaksa mendapatkan bantuan derma untuk membeli tiket pulang.

Menurut King Sing, laporan mengenai kejadian itu disampaikan kepada MOTAC melalui Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan kesemua jemaah selamat tiba di KLIA Terminal 2 semalam.

Katanya, walaupun kepulangan mereka amat melegakan, hakikat bahawa insiden sebegini terus berlaku adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali dan menuntut tindakan tegas dengan kadar segera.

Beliau berkata, hasil siasatan awal MOTAC mendapati premis syarikat tidak beroperasi dan terdapat beberapa pelanggaran serius di bawah Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992.

“Berikutan itu, MOTAC telah menjalankan penggeledahan, merakam percakapan pihak syarikat dan jemaah yang terlibat, serta membuka kertas siasatan.

“Kertas syor pembatalan lesen syarikat juga sedang dimuktamadkan untuk pertimbangan Pengurusan Tertinggi MOTAC,” katanya.

Katanya, insiden ini sekali lagi membuktikan masih terdapat pengusaha yang mengambil kesempatan atas kepercayaan masyarakat.

MOTAC menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana mana pengusaha yang menipu, mengabaikan kebajikan jemaah atau merosakkan reputasi negara.

Mengikut rekod, dari tahun 2023 hingga Oktober tahun lalu, MOTAC telah melaksanakan 64 operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan penggantungan dan pembatalan lesen terhadap agensi yang melanggar undang-undang.

“Dalam tempoh tersebut, sebanyak empat lesen agensi pelancongan digantung manakala dua lesen telah dibatalkan.

“Namun, kejadian yang terus berulang menunjukkan bahawa pendekatan sedia ada perlu diperketat dan diperkukuh.

“Sehubungan itu, MOTAC menyeru orang ramai supaya sentiasa menyemak status lesen agensi pelancongan sebelum membuat sebarang bayaran, dan melaporkan sebarang penyelewengan dengan segera agar tindakan pantas dapat diambil,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN