AMPANG: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dalam nada sindiran berkata, beliau akan melelong kasut dan seliparnya bagi melunaskan baki kos penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Jamal berkata demikian selepas penguatkuasaan writ penyitaan dan penjualan dilakukan di kediamannya di Ampang Jaya hari ini. Ia susulan kegagalannya menyelesaikan sepenuhnya kos guaman dalam kes saman fitnah terhadap wakil rakyat DAP itu.
Menurut Jamal, beliau kecewa dengan tindakan pihak pemiutang yang memilih kaedah penguatkuasaan mahkamah, sedangkan isu berkenaan didakwa boleh diselesaikan melalui rundingan antara peguam kedua-dua pihak.
“Jumlah RM66,000 itu bukan kecil dan bukan juga terlalu besar, lebih-lebih lagi ketika saya masih menjalani rawatan kanser. Saya rasa perkara ini boleh dibincangkan tanpa perlu sampai ke tahap pecah masuk rumah.
“Media lapor rumah saya disita, tapi sebenarnya baru ambil senarai dan barang masih ada. Untuk selesaikan RM66,000 duit Teresa itu, esok saya boleh jual dua tiga pasang kasut dan selipar saya,” katanya kepada media.
Terdahulu, polis bersama pegawai mahkamah hadir ke kediaman Jamal bagi melaksanakan writ penyitaan dan penjualan selepas penghuni rumah gagal memberikan respons terhadap panggilan dan loceng pintu.
Kes itu berpunca daripada saman yang difailkan oleh Teresa pada 6 April 2017 susulan dakwaan Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah berhubung pengurusan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dalam satu sidang media pada 8 Mac tahun sama.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa dakwaan fitnah tersebut berjaya dibuktikan dan seterusnya menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Teresa, selain kos guaman berjumlah RM50,000.
Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu, sekali gus menjadikan keputusan Mahkamah Tinggi itu sebagai muktamad dan berkuat kuasa.
Wakil peguam Teresa sebelum ini memaklumkan bahawa walaupun bayaran ganti rugi RM300,000 telah diselesaikan, kegagalan mematuhi sepenuhnya perintah mahkamah berkaitan kos penghakiman menyebabkan tindakan penyitaan dan penjualan harta dilaksanakan hari ini. – UTUSAN










