Jam tangan mewah Patek Philippe Cubitus tiada, jam Rolex 'berderet' dipamer SPRM

Jam tangan mewah Patek Philippe Cubitus tiada, jam Rolex ‘berderet’ dipamer SPRM

ANTARA jam tangan mewah sebahagian barangan rampasan pada sidang media khas mengenai rampasan melibatkan bekas panglima angkatan tentera di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak kelihatan jam tangan mewah jenis Patek Philippe Cubitus dipamerkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada sidang akhbar khas berkaitan kes rasuah tender perolehan tentera, di sini hari ini.

Sebaliknya, yang dipamerkan adalah puluhan utas jam tangan mewah jenis Rolex yang sebelum ini dirampas daripada seorang pegawai kanan tentera.

Sebelum ini tular mengenai satu gambar seorang pegawai kanan tentera dilihat mengenakan jam tangan mewah Patek Philippe Cubitus bernilai lebih RM450,000 menerusi pendedahan dibuat seorang aktivis, Badrul Hisham bin Shaharin atau Chegubard baru-baru ini.

Bagaimapun, sidang akhbar oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hari ini tidak menemui jam tangan mewah berkenaan sebagaimana yang tular sebelum ini.

Azam memaklumkan, pihaknya tidak pernah menyembunyikan apa-apa barang kes yang dirampas dalam mana-mana kes rasuah.

“Saya sudah sebut banyak kali, saya tidak boleh menahan perkara tular dan persepsi. Ia (tular) tetap akan berlaku hari-hari cuma saya akan ambil satu masa untuk menunjukkan kebenarannya.

“Hari ni saya bawa depan ini, tuan-tuan (pengamal media) tengok lah, saya tidak sorok apa-apa barang kes. Bukan saya nak ‘showcase’ mana-mana tetapi supaya rakan pemberita faham.

“Yang tular itu biar lah tular di belakang dan apa yang di hadapan ini, percayalah apa yang kami tunjuk ini lebih baik dari mempercayai benda-benda tular,” katanya.

Chegubard sebelum ini mendedahkan satu gambar kononnya pegawai kanan tentera yang disiasat kes rasuah dilihat memakai jam tangan mewah berkenaan.

Sebelum ini, seorang bekas pegawai kanan tentera disiasat SPRM menerusi Op Parasit membabitkan kes rasuah tender perolehan tentera. Susulan itu, SPRM merampas keseluruhan aset bernilai kira-kira RM11.4 juta daripada pegawai berkenaan.

Antara yang dirampas termasuk wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta dan sebuah kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000.

Turut dirampas 26 unit jam mewah jenama Rolex bernilai RM2.3 juta, barang kemas RM294,039.90, dua cincin berlian RM20,000, jongkong emas 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas (8.5g) RM5,780. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN