Itu pandangan peribadi, bukan parti - Tuan Ibrahim

Itu pandangan peribadi, bukan parti – Tuan Ibrahim

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak dakwaan kononnya parti itu akan kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui Perikatan Nasional (PN).

Katanya, kenyataan dikeluarkan Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad itu adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.

“Saya fikir itu pandangan peribadi beliau dan ia terpisah daripada realiti. Jika kita melihat kepada pencapaian kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan beliau, PAS mencatatkan prestasi yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Zaharudin, yang juga menantu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam kenyataan di Facebook, mendakwa bahawa kajian dalaman parti menunjukkan PAS berisiko kehilangan 37 kerusi Parlimen, bagaimanapun, data tersebut tidak didedahkan secara terbuka.

Tuan Ibrahim menegaskan kenyataan itu harus dilihat sebagai analisis individu dan bukan pendirian rasmi parti.

“Itu adalah analisis peribadi beliau. Ia tidak mewakili PAS. Setiap orang bebas menyuarakan pandangan,” katanya.

Kerusi Pengerusi PN kini kosong susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Peletakan jawatan dipercayai berlaku akibat krisis politik di Perlis yang menyaksikan Bersatu mengambil alih tampuk pemerintahan daripada PAS.

PAS menyatakan hasrat untuk mengetuai PN dengan beberapa nama dikaitkan termasuk Abdul Hadi, Tuan Ibrahim dan Ahmad Samsuri.

Pelantikan rasmi akan dibuat dalam mesyuarat tertinggi PN yang tarikhnya belum ditetapkan, sekali gus menyebabkan jawatan tersebut masih kosong lebih 10 hari selepas dikosongkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN