KULIM: Lelaki dan dua kanak-kanak yang maut kemalangan disahkan sebagai tiga beranak yang terlibat kejadian itu di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kob, di sini.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25, yang memandu Perodua Viva bersama dua anak lelakinya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, kemalangan melibatkan Perodua Viva dinaiki ketiga-tiga mangsa dengan Proton S70 dipandu lelaki berusia 27 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat Proton S70 yang hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan pertembungan dengan Perodua Viva terbabit.
“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk urusan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Zulkifli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, pemandu Proton S70 yang terlibat dalam kejadian terbabit masih menerima rawatan akibat kecederaan dialami.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan kemalangan itu berlaku pada pukul 5.15 petang ini dengan mayat dua kanak-kanak terbabit dikeluarkan oleh orang awam, manakala pemandu yang tersepit dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas.
Perodua Viva dinaiki tiga beranak itu terbabas ke bahu jalan akibat pelanggaran terbabit, sementara Proton S70 berkenaan terbakar. – UTUSAN










