'Saya sudah rasa seperti akan kehilangan ibu'

‘Saya sudah rasa seperti akan kehilangan ibu’

PRINCESS Chriss Angel Anak Alexander menunjukkan video terakhir diambil oleh ibunya sebelum maut bersama adik perempuannya dalam kemalangan motosikal di Kilometer 10 arah selatan Lebuhraya Seremban–Port Dickson, tengah malam tadi ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rembau, hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: “Saya memang sudah rasa tidak sedap hati, seolah-olah mak mahu meninggalkan saya.”

Itu luahan anak sulung kepada Nur Syakilla Agnes Abdullah, 40, yang maut dalam kemalangan motosikal di Kilometer 10 arah selatan Lebuhraya Seremban-Port Dickson, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam, mangsa dan anak perempuannya, Nur Aufa Umairah Abdullah, 14, maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Anak sulung mangsa, Princess Chriss Angel Anak Alexander, 22, berkata, dia menerima berita kejadian melalui panggilan telefon. 

“Semasa kejadian hanya saya tidak ikut kerana sedang mengandung dan rasa tidak sedap hati. Selepas itu, adik yang ikut sama telefon memaklumkan mak dan adik kelima saya sudah terjatuh di tepi jalan. Pada mulanya mereka kata mak belum dijumpai, kemudian diberitahu mak dan adik perempuan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum kemalangan, mangsa menunjukkan perubahan sikap yang ketara termasuk kerap mengajak ahli keluarga keluar bersama dan lebih banyak berdiam diri.

“Saya ada tanya mak kenapa saya rasa macam mak nak tinggalkan saya. Mak jawab, tak mengapa dan beritahu saya boleh uruskan semuanya nanti,” katanya.

Princess Chriss Angel berkata, mangsa turut mengajak keluarga ke Port Dickson untuk menangkap ketam pada malam kejadian, namun ditegah atas faktor keselamatan.

“Semasa ingin pulang, mak tiba-tiba meminta adik sepupu membawa adik bongsu yang berusia dua tahun pulang. Itu perkara pelik kerana mak jarang berpisah dengan adik,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Muhammad Iskandar Shah Abdullah, 46, berkata, adiknya seorang yang keras kepala tetapi sangat bertanggungjawab terhadap anak-anak dan keluarga. 

Beliau juga menyifatkan perubahan sikap mangsa akhir-akhir ini agak ketara. 

“Baru-baru ini, dia meminjam duit emak saya bagi menguruskan keperluan sekolah anak-anak. Itu yang buat kami rasa pelik,” katanya.

Muhammad Iskandar Shah berkata, mangsa merupakan ibu tunggal kepada tujuh orang anak dan aktif mengikuti kelas mengaji serta pembelajaran asas agama sejak beberapa tahun lalu. “Dia juga suka mengambil gambar dan video. Sebelum kejadian, dia ada muat naik video di media sosial tentang nak cari ketam di Port Dickson. Saya tidak menyangka itu perkongsian terakhirnya,” katanya.

Jenazah kedua-dua mangsa akan disolatkan di Masjid Kariah Rasah Jaya, Seremban sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Forest Heights, Senawang petang ini.

Dalam kejadian sama, seorang lagi anak lelaki mangsa yang berusia 12 tahun dilaporkan parah di kepala dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Muhd. Amrul Yazid Anuar, berkata, motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergerak dari lorong kecemasan sebelum memasuki lorong kanan laluan sebuah kereta.

Mangsa wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya, 14, meninggal dunia, manakala seorang lagi anak lelaki, 12, cedera parah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi yang menyaksikan kejadian tampil memberi maklumat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN