PETALING JAYA: Bangsa Melayu Islam wajib diberikan hak untuk memimpin negara ini yang merupakan sebahagian daripada realiti politik.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, realiti itu bukan sekadar modal politik sebagaimana hujah oleh mereka yang jahil politik dan kalangan yang menafikannya.
Katanya, ilmu politik Islam secara khusus meletakkan peranan bangsa dalam politik mengikut syariat yang menepati fitrah manusia.
“Hal ini sebagaimana para anbia memulakan dakwah kepada kaum masing-masing bagi mendapat dukungan yang kuat daripada mereka.
“Menafikan peranan bangsa dalam politik juga menunjukkan taraf ilmu politik yang lebih rendah daripada politik binatang yang bermasyarakat seperti semut dan lebah yang kecil serta lemah, termasuk kawanan kera yang liar dan singa yang ganas,” katanya dalam Minda Presiden Pas hari ini.
Abdul Hadi berkata, tuduhan Melayu sebagai perkauman oleh pelbagai pihak hanyalah bertujuan menyebarkan naratif yang salah hasil warisan penjajah.
“Yang boleh merosakkan keadaan aman dan harmoni yang wujud sejak awal kaum Melayu beragama Islam.
“Fitnah yang gagal pada zaman penjajah itu, tiba-tiba dicetuskan kembali oleh kalangan yang tidak mengenang budi Melayu terhadap kaum mereka yang pernah diperhambakan dan dihina oleh penjajah sebelum diselamatkan oleh orang Melayu,” katanya. – UTUSAN










