PETALING JAYA: Syarikat pengedar dan peruncit produk makanan terkemuka, Guan Huat Seng Holdings Berhad (GHS Holdings) secara rasminya memulakan langkah sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, meskipun mencatatkan permulaan perlahan pada sesi pembukaan dagangan.
Kaunter itu dibuka pada harga 24 sen, susut satu sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu 25 sen sesaham.
Setakat pukul 9.30 pagi, saham GHS diniagakan serendah 23 sen sebelum kembali berada pada paras 24 sen, menyaksikan hampir 16 juta saham bertukar tangan.
Biarpun berdepan sentimen pasaran yang mencabar pada hari pertama, penyenaraian ini tetap disifatkan sebagai pencapaian bersejarah dan penanda aras baharu kepada warisan syarikat yang bermula sejak 1930-an, serta pemangkin kepada fasa pertumbuhan yang lebih tersusun.
Pengarah Urusannya, Yeo Tien Ee berkata, status sebagai syarikat tersenarai awam bakal mengukuhkan rangka kerja tadbir urus korporat syarikat selain menyediakan platform modal yang lebih kukuh untuk pelan pengembangan perniagaan.
“Hari ini merupakan pencapaian signifikan bagi GHS. Penyenaraian ini mencerminkan rekod prestasi operasi kami selama lebih 46 tahun menerusi penubuhannya pada 1979.
“Menerusi dana daripada IPO ini, kami menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengembangkan kemudahan pengeluaran, serta memperluas rangkaian produk dan kehadiran runcit kami bagi mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyenaraian tersebut hari ini.
Dalam pada itu, GHS turut mengumumkan polisi dividen yang menarik dengan hasrat mengesyorkan agihan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan bersih (PAT) tahunan kepada pemegang saham, tertakluk kepada keperluan aliran tunai dan prestasi kewangan semasa.
Selain itu, inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 turut dilihat sebagai peluang keemasan bagi GHS untuk meningkatkan jualan produk mereka.
“Apabila sektor pelancongan meningkat, permintaan dalam sektor perkhidmatan makanan dan rangkaian hotel juga akan turut melonjak. Sebagai pembekal kepada sektor-sektor ini, kami menjangkakan impak positif yang ketara kepada syarikat,” katanya.
GHS kini mengendalikan pelbagai rangkaian produk makanan termasuk makanan laut sejuk beku, bahan perasa, snek dan barangan runcit am yang diedarkan secara meluas di pasaran domestik dan antarabangsa.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. – UTUSAN










