PETALING JAYA: Empat presiden parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dijangka mengadakan pertemuan malam ini di kediaman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pertemuan tersebut susulan surat undangan Muhyiddin kepada tiga presiden parti iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan bagi membincangkan hala tuju perkara yang telah dipersetujui sebelum ini.
Punithan ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kehadirannya malam ini.
“Ya, saya hadir,” katanya.
Begitu juga dengan Dominic Lau turut mengesahkan kehadirannya malam ini dan mengharapkan ada penyelesaian ekoran isu yang berlaku di dalam PN ketika ini.
Ketika ditanya adakah Gerakan berharap Muhyiddin masih memegang jawatan Pengerusi PN, beliau berkata ia perlu mendapat persetujuan daripada ke semua yang terlibat.
“Persetujuan ke empat empat presiden mesti diadakan,” katanya.
Utusan Malaysia cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak Abdul Hadi, bagaimanapun belum ada pengesahan secara rasmi setakat ini. – UTUSAN










