PEPATAH yang berbunyi ‘di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi’ sangat sesuai dipakai untuk menceritakan minat yang diwarisi anak kepada pelakon, Faizal Hussein iaitu Fazryn Faizal yang mahu serius menceburkan diri dalam bidang seni.
Walaupun kini jarang muncul di kaca televisyen, ibunya, Suhaila Sulaiman juga merupakan pelakon drama popular era 90-an.
Fazryn rupanya tidak hanya mewarisi bakat, tetapi juga rupa paras kedua orang tuanya yang dikatakan pakej lengkap untuk bergelar selebriti.
Masih menuntut di tahun akhir pengajian di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media sebuah universiti tempatan, Fazryn kini sudah mula menjinakkan diri dalam bidang peragaan selain melengkapkan ilmu dengan kelas lakonan daripada tenaga pengajar profesional.
Melihat kecenderungan yang ditunjukkan anak gadisnya yang berusia 20 tahun itu, Faizal percaya anaknya bersedia terjun ke dalam industri seni tempatan sekiranya diberikan peluang.
“Saya dapat lihat, hujung bakat dia akan ke seni juga. Sekarang, saya dan isteri cuba beri sokongan mana yang mampu termasuklah berkenalan dengan orang dalam industri untuk bina ‘networking’.
Selain itu saya mempersiapkan dia dengan pengucapan awam dan latihan seperti terjun ke bidang peragaan.
“Saya lihat dia seorang yang berani dan boleh bergelar anak seni cuma belum matang. Tapi saya anggap ini semua proses.
Kita beri dia peluang raih pengalaman dahulu dan perhatian akan datang kemudian. Semua ini ‘bekalan’ untuknya di masa depan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Bukan itu sahaja, pelakon Walid itu juga berkata, Fazryn sepatutnya menyertai kelas lakonan bersama pelakon Fauziah Ahmad Daud namun terpaksa ditunda kerana jadual kelas dan tugasan yang padat di universiti.
“Memang sepatutnya ada kelas lakonan dengan Ogy yang sepatutnya di Finas. Tapi ketika itu dia sangat sibuk di universiti, jadi tak dapat nak sertau. Selepas ini dia akan sertai lagi jika sempat.
“Sebagai orang tua, saya kena seimbangkan hidupnya. Dia masih boleh buat apa yang disuka tapi pada masa sama tidak boleh abaikan kehidupan akademik. Tapi Fazryn anggap semua ini sebagai cabaran dan Alhamdulillah hari ini berjaya uruskan kedua-duanya,” tambahnya.
Terkini, Fazryn aktif menjadi model pakaian di pentas peragaan selain banyak terlibat dengan sesi penggambaran bersama jenama lokal.
“Pertama kali dia ‘catwalk’, memang dia ajak mak ayah dia datang untuk kami tengok. Kami juga waktu itu berharap juga nak tengok anak jalan di pentas peragaan, dan impian itu tercapai. Teruja sebenarnya sebab anak saya memang suka melawa.
“Ada juga rezeki saya yang datang daripada Fazryn. Contohnya jenama baju yang turut nak ambil saya sekali sebagai model kerana kenal Fazryn.
“Saya bangga lihat perkembangannya sehingga hari ini. Dulu dia mandi atas peha kita sekarang sudah jalan atas pentas,” katanya.










