Enggan berkata apa-apa mengguris hati sesiapa - Janna Nick - Utusan Malaysia

Enggan berkata apa-apa mengguris hati sesiapa – Janna Nick

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Janna Nick tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak menerusi satu hantaran di media sosial, baru-baru ini.

Janna atau Nurul Jannah Muner, 30, berkata, dia berazam untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris perasaan mana-mana pihak selain memilih untuk memaafkan setiap kesalahan orang terhadap dirinya.

“Saya mohon ampun dan maaf daripada semua, dan saya juga memaafkan semua.

“Insya-Allah, saya juga berazam untuk tidak lagi berkata apa-apa yang mungkin tanpa disedari akan menyakiti hati sesiapa,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Isteri kepada pelakon, Dini Schatzmann itu turut menyatakan kesediaannya untuk menerima sebarang teguran daripada orang ramai sekiranya dia melakukan kesilapan pada masa hadapan.

Menurut Janna, setiap nasihat dan teguran yang diberikan akan membantu membentuk dirinya menjadi insan serta anak seni yang lebih baik.

“Andai kata suatu hari nanti saya terlupa atau terleka, tegurlah saya, marahlah saya. Saya bersyukur atas segala teguran,” katanya.

Menganggap setiap fasa kehidupan sebagai satu proses pembelajaran, Janna berharap segala ujian yang pernah menimpa dirinya sebelum ini menjadi pemangkin untuk dia terus bangkit menjadi individu yang lebih berkualiti.

“Semoga segala ujian yang diberikan Allah SWT akan menjadikan kita manusia yang lebih kuat dan lebih baik pada masa akan datang,” tulisnya.

Terdahulu, Janna mencuri perhatian ramai apabila memuat naik perkongsian di media sosial berkaitan isu dendam dan merelakan takdir.

Meskipun perkongsian tersebut tidak ditujukan secara khusus kepada mana-mana individu, pelakon Puteri Balqis dilaporkan mempersoalkan kenyataan berkenaan sehingga mencetuskan ketegangan antara mereka di media sosial buat seketika. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN