KUBANG PASU: Seorang lelaki tempatan bersama tiga warganegara Thailand ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kuala Kedah kerana dipercayai cuba menyeludup diesel ke negara jiran, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 pagi itu, sebanyak 100,013 liter minyak diesel dirampas oleh Unit Risikan Marin (URM) PPM di sebuah premis perniagaan di Mukim Sungai Laka, Bukit Kayu Hitam.
Pemangku Komander PPM Wilayah Satu, Pemangku Superintenden Fakharuddin Amri Sanusi berkata, kesemua suspek yang ditahan untuk membantu siasatan berusia antara 26 hingga 60 tahun.
Kata beliau, hasil maklumat risikan, pihaknya bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Kedah melaksanakan Operasi Taring Landai (Intra Agensi) di lokasi terbabit.
“Pasukan operasi mengesan aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah daripada beberapa buah skid tank ke dalam lori treler bernombor pendaftaran Thailand.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran sah berkaitan pemilikan dan pemindahan minyak diesel,” katanya.

Menurut Fakharuddin Amri, tiga buah treler, sembilan skid tank mengandungi kira-kira 100,013 liter minyak diesel serta tiga unit mesin pam minyak bermeter dirampas dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1.094 juta.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua tangkapan serta barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.
“PPM akan terus komited memperkukuh kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan demi keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










