KUALA TERENGGANU: Anugerah EkoCeria Institusi Pendidikan Islam Terengganu (ECIPIT) diperkenal sebagai satu inisiatif berwawasan bagi memastikan semua institusi pendidikan Islam (IPI) berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkembang secara mampan, seterusnya diangkat sebagai institusi pendidikan Islam mampan.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Datuk Mohd. Fadzli Yusof berkata, inisiatif tersebut mampu memperkasa sektor pendidikan Islam sama ada awam atau swasta melalui pembangunan sistem pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang berteraskan kemapanan, terangkum, kondusif, komprehensif, selamat serta berinovasi.
“Ia sekali gus mencerminkan kesyumulan Islam dan selari dengan misi pendidikan arus perdana yang boleh dijadikan contoh serta ikutan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Hadiah Institut Pendidikan Islam Terengganu Yayasan Diraja Sultan Mizan di Balai Santapan Diraja, Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.
Majlis pengurniaan anugerah disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut berangkat Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mohd. Fadzli berkata, YDSM berharap semua IPI di Terengganu dapat mencapai tahap keselamatan, kesihatan, kebersihan, keceriaan serta inovasi yang mampan selaras dengan tuntutan agama Islam, sekali gus menjadi pelopor kepada konsep atau pendekatan Islam terhadap kemapanan.
Menurutnya, amalan kemapanan yang kini dikenali sebagai ESG merangkumi aspek alam sekitar, kesejahteraan sosial dan tadbir urus sebenarnya telah lama berakar dalam ajaran Islam.
Kata beliau, IPI mempunyai peranan besar dalam merealisasikan agenda kemapanan kerana institusi tersebut bukan sekadar tempat menyampaikan ilmu, sebaliknya medan membentuk akhlak, sikap dan jati diri generasi masa hadapan.
“Sehubungan itu, ESG bukan sekadar agenda global, malah sejajar dengan maqasid syariah manakala kewujudan ECIPIT menjadi medium penting dalam menterjemah konsep kemapanan daripada teori kepada amalan sebenar di peringkat institusi.
“Selain itu, ECIPIT menyediakan data dan maklumat menyeluruh berkaitan tahap tadbir urus, keselamatan, kesihatan, kebersihan, keceriaan serta kemampanan setiap IPI yang dinilai,”katanya.
Pemenang anugerah utama diberikan kepada Tahfiz Pusat Tarbiyah Raudathul Hijrah, Kemaman manakala tempat kedua dimenangi Sekolah Rendah Islam Al Amin, Kuala Nerus dan ketiga diberikan kepada Pusta Tarbiyah Nurul Iman Kampung Raja, Besut. – UTUSAN










