KOTA BHARU: Dua buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dengan menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Pantai Cahaya Bulan, bulan lalu.
Haris Shafie, 33 dan Wan Azmir Wan Aznam, 30, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes penyeludupan migran tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.50 malam pada 8 Disember 2025 apabila kedua-dua tertuduh didakwa membawa sembilan warga Myanmar menggunakan MPV jenis Perodua Alza.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menolak permohonan ikat jamin dan menetapkan 28 Januari ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










