PETALING JAYA: Kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu akan mencetuskan diskriminasi dan mewujudkan stigma suka membuat perbandingan bercanggah dengan pendirian beliau mengenai reformasi pendidikan serta perubahan minda masyarakat.
Naib Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nadia Nazri berkata, hujah bahawa kanak-kanak ‘tidak bersedia’ atau ‘terkesan secara sosial’ jika diberi pilihan pendidikan awal mengulangi logik lama yang pernah digunakan untuk menolak Undi 18.
“Dahulu, anak muda dikatakan belum matang atau bersedia membuat keputusan. Namun, kita akhirnya akur kesediaan tidak lahir melalui penangguhan, tetapi kepercayaan, pendedahan dan sokongan.
“Sekiranya kita terus-menerus mahu menangguhkan kepercayaan, maka apa yang kita bina sebenarnya bukan sistem perlindungan, tetapi krisis ketidakpercayaan terhadap generasi sendiri.
“AMK berpandangan, stigma dan label terhadap kanak-kanak bukan berpunca daripada umur kemasukan, tetapi cara berfikir golongan dewasa termasuk ibu bapa, masyarakat serta institusi yang masih terperangkap dalam takrif kejayaan lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nadia, jika murid yang tidak memasuki Tahun Satu pada umur enam tahun terus dilabel ‘tidak pandai’, ‘ketinggalan’ atau ‘kurang nilai’, masalah sebenar adalah cara masyarakat mentafsir perkembangan kanak-kanak, bukannya dasar kemasukan itu sendiri.
Katanya, menolak pilihan kemasukan awal semata-mata kerana bimbang dengan stigma adalah tindakan yang berterusan menghalalkan pelabelan sosial dan menormalisasikan budaya perbandingan.
Menurut Nadia, jika benar mahu melawan diskriminasi, sepatutnya perlu dididik ibu bapa dan masyarakat agar menghentikan pembudayaan lapuk ini, bukan membatalkan pilihan yang boleh dimanfaatkan sebahagian keluarga.
“Hakikatnya, kita perlu melihat kepada bagaimana dasar ini dilaksanakan, dengan fokus utama kepada perlindungan dan sokongan, bukan penolakan pilihan,” ujarnya. – UTUSAN











