Cadangan Pas sertai kerajaan Perpaduan gambaran politik matang - Utusan Malaysia

Cadangan Pas sertai kerajaan Perpaduan gambaran politik matang

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim menyampaikan bantuan persekolahan pada program Sumbangan Kasih Madani: Kembali Ke Sekolah 2026 bagi Parlimen Padang Rengas hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Cadangan agar Pas menyertai kerajaan Perpaduan seperti yang dikemukakan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, perlu dilihat sebagai satu pandangan politik yang matang.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, cadangan itu mencerminkan kematangan dalam menghentikan pertelingkahan politik sekaligus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara.

“Sepanjang tiga ke empat tahun ini kita bergaduh dan pergaduhan itu pun bukan melibatkan kita, itu pergaduhan dalam Perikatan Nasional (PN). Kalau kita tak ambil peduli, biarlah mereka bergaduh dan bercakar sesama sendiri.

“Tetapi kita bagi peringatan dan pandangan daripada ketua AMK Selangor itu adalah supaya kita dapat memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkukuh ekonomi dan membangunkan negeri.

“Jadi saya tidak fikir itu ialah satu tawaran ataupun kenyataan yang membimbangkan tetapi sebagai sebuah parti politik lama, ada kematangan dalam politik dan saya rasa tak salah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Sumbangan Kasih Madani: Kembali Ke Sekolah 2026 bagi Parlimen Padang Rengas di pekarangan Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas, Taman Puncak Bougainvillea, di sini hari ini.

Dalam program tersebut, seramai 500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Parlimen Padang Rengas menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100 setiap seorang, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM50,000.

Mengulas lanjut beliau berkata, dinamik politik pada masa kini telah berubah dan menekankan bahawa fokus utama harus diberikan kepada pembangunan negeri dan negara.

“Sampai pilihan raya nanti nak berlawan ke, nak bertembung ke, bertembunglah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan tersebut yang kemungkinan menyebabkan ketidakselesaan kepada DAP, beliau berkata, perasaan itu bukan sahaja dirasai oleh DAP tapi semua pihak.

“Kalau tanya, setiap daripada kita tidak selesa tetapi asas yang perlu diberi fokus ialah memperbaiki dan memperkukuhkan ekonomi serta melaksanakan agenda untuk rakyat untuk pastikan kestabilan politik.

“Sebab ini terbukti untuk tempoh tiga tahun ni, apabila ada kestabilan politik, kita dapat pacu pertumbuhan ekonomi dengan baik dengan menarik lebih banyak pelaburan,” katanya.

Terdahulu, Ketua AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq menyarankan Pas mengambil langkah matang dan bertanggungjawab dengan menyertai kerajaan Perpaduan susulan kemelut hubungan yang semakin terbuka antara parti itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut beliau, masa depan negara tidak seharusnya dipertaruhkan kepada gabungan politik yang rapuh dan dibelenggu rasa saling mencurigai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN