PETALING JAYA: Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin agar parti itu bergerak solo perlu diteliti secara tenang, matang dan berpandangan jauh, bukan ditanggapi secara emosi atau bersandarkan sentimen kepartian yang sempit.
Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, penegasan dibuat oleh Mursyidul Am Pas bukan bersifat ancaman atau ultimatum politik, sebaliknya merupakan isyarat bahawa kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa hala tuju yang jelas.
“PN dibentuk berasaskan kepercayaan, kejelasan struktur serta kesepakatan kepimpinan. Apabila isu pelantikan Pengerusi PN berlarutan dan mesyuarat rasmi dibatalkan, keputusan besar pula cuba diselesaikan menerusi platform yang tidak berperlembagaan.
“Maka, wajar ada pihak mengingatkan bahawa pakatan tidak boleh diurus mengikut kehendak individu atau manuver kuasa peribadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohamed Sukri berkata, cadangan agar Pas bergerak soo bukan tanda keangkuhan atau usaha memutuskan hubungan silaturahim, sebaliknya merupakan satu pilihan politik yang realistik dan berprinsip.
Katanya, ia selari dengan hakikat bahawa Pas memiliki kekuatan sendiri termasuk jentera akar umbi yang tersusun, kepimpinan stabil serta rekod pentadbiran di empat negeri yang mampu dipertahankan.
“Kenyataan tersebut mengangkat prinsip asas kepimpinan Islam yang meletakkan jawatan sebagai amanah, bukan semata-mata kedudukan.
“Kriteria takut kepada Allah, beramal dengan syariat, bersedia untuk akhirat dan reda dengan rezeki merupakan neraca kepimpinan yang lebih tinggi berbanding sokongan politik atau rundingan kuasa,” katanya.
Tambah beliau, Pas tidak pernah menutup ruang kerjasama, malah Mursyidul Am Pas sendiri menyatakan hasrat agar Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus bersama sekiranya kemelut dapat diselesaikan dengan baik.
Namun katanya, kerjasama itu perlu berlandaskan kejujuran, kejelasan peranan serta penghormatan terhadap perlembagaan gabungan dan bukan dipaksakan melalui helah struktur atau penstrukturan mengelirukan.
“Dalam politik, ketegasan terhadap prinsip mencerminkan kematangan dan bukan perpecahan, malah keberanian untuk berdiri dengan kekuatan sendiri kadangkala menjadi jalan paling jujur bagi mempertahankan maruah perjuangan serta kepercayaan rakyat.
“Semoga isu ini diselesaikan segera dengan hikmah tanpa mengorbankan kestabilan pakatan dan tanpa memperjudikan mandat rakyat demi nafsu kuasa sementara,” katanya.
Sebelum ini, Hashim menegaskan, isu pelantikan Pengerusi PN yang baharu dengan diketuai oleh Pas perlu diselesaikan segera.
Katanya, jika soal pelantikan tersebut masih terus menemui jalan buntu, beliau mencadangkan agar Pas bergerak solo memandangkan isu berkenaan dilihat sudah berlarutan terlalu lama.
Hashim berkata, Pas mempunyai kekuatan sendiri dan mampu meraih keputusan lebih baik dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) terutama di empat negeri dikuasai ketika ini. – UTUSAN










