REMBAU: Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau hari ini melancarkan buku khas, MassComm Rembau: Pulsing Through a Decennium sebagai penanda hampir sedekad peranan fakulti itu dalam pembangunan pendidikan dan wacana komunikasi media.
Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor bersempena penganjuran program COMMPULSE – #Disconnected: A World ‘Without’ Media (COMMPULSE) di Dewan Biduanda, Kampus Rembau.
Berucap pada majlis perasmian, Mustapha berkata, belia masa kini perlu memiliki ketajaman pemikiran dan prinsip yang kukuh dalam mendepani landskap media yang semakin kompleks.
“Media kini bukan sekadar saluran hiburan tetapi nadi kepada kestabilan sosiopolitik dan ekonomi negara. Tanpa komunikasi yang beretika, masyarakat mudah terperangkap dalam manipulasi maklumat yang boleh menggugat keharmonian,” katanya.
Buku MassComm Rembau: Pulsing Through a Decennium mendokumentasikan perjalanan FKPM UiTM Rembau sejak penubuhannya, merangkumi sumbangan akademik, pembangunan mahasiswa serta peranan fakulti dalam memperkukuh literasi media dan pemikiran kritis masyarakat.
Program COMMPULSE merupakan anjuran pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Media FKPM UiTM Rembau sebagai platform pengaplikasian teori komunikasi dalam konteks dunia sebenar.
Ketua projek COMMPULSE, Nurul Izzah Mohamad Zaky berkata, tema program tersebut dipilih bagi mengajak masyarakat menilai kepentingan komunikasi dan media dalam membentuk kefahaman kolektif.
“COMMPULSE melambangkan komunikasi sebagai nadi yang menggerakkan pemikiran dan menyatukan masyarakat. Tema #DISCONNECTED mengajak kita merenung realiti sebuah dunia tanpa media serta implikasinya terhadap penyampaian maklumat dan kesedaran awam,” katanya.
Antara pengisian utama program ialah Forum Industri Media Matters: Navigating Truth, Trust and Transparency yang menampilkan wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Malaysian Press Institute (MPI) dan Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM).
Selain pelancaran buku, majlis turut menyaksikan pelancaran baju rasmi FKPM UiTM Kampus Rembau serta penyampaian sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan (PEYAKIN). – UTUSAN










