PUTRAJAYA: Pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa diberi tempoh seminggu untuk melaksanakan pembaharuan atau bersedia diturunkan pangkat ke jawatan lebih rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran itu berikutan masih wujud kelemahan serius dalam agensi penguatkuasaan kerajaan.
Katanya, beliau sudah hilang sabar dengan pelbagai isu rasuah, salah guna kuasa dan tatakelola yang berlaku dalam negara ketika ini.
“Jadi saya hendak berikan kata-kata yang keras dan singkat sahaja. Sudah sampai ketikanya di mana kita harus beri jawapan.
“Kalau sudah diamanahkan dan rasanya kurang mampu menerima tugas ini kerana cabaran terlalu besar atau ujian berat serta lebih minat dengan tarikan pelawaan yang terlalu menarik.
“Maka saya syorkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua jabatan badan penguat kuasa yang belum bersedia mengambil amanah sebagai pemimpin penguat kuasa,” katanya dalam amanat bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasaan yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan di Kementerian Kewangan semalam.
Perdana Menteri berkata, beliau kini lebih arif tentang kekuatan dan kelemahan dalam negara khususnya selepas tiga tahun mengemudi kerajaan.
Katanya, beliau merasakan masih ada ruang yang boleh diperbaiki dan kelemahan yang boleh diatasi dalam tempoh seminggu khususnya daripada segi kegiatan gelap yang masih berlaku.
Anwar juga mengingatkan pimpinan pasukan keselamatan dan penguatkuasaan supaya tidak bersikap sambil lewa dalam tugas masing-masing.
“Yang pegang jawatan (tinggi), yang bintang-bintang gemerlapan itu bukan calang-calang orang. Mereka bekerja puluhan tahun dan mendapat pengiktirafan sekian lama.
“Tapi bintang-bintang kegemerlapan ini harus juga mendorong kita dan memaksa kita melakukan sesuatu yang benar dan bijak dan jangan kita ambil sikap sambil lewa.
“Saya memilih untuk meluahkan ini kerana saya rasa tersinggung dan saya masih menaruh (harapan). Saya tahu dalam lubuk hati kecil, masih ada keinginan untuk buat sesuatu,” katanya.
Anwar turut mempersoalkan bagaimana penyeludupan boleh berlaku secara terbuka dan kelemahan penguat kuasa seolah-olah membenarkan keterlanjuran berterusan berlaku.
Katanya, pembaharuan hanya boleh dicapai jika semua pihak bekerja sebagai satu pasukan, menolak sikap sambil lewa serta berani menegakkan nilai kebenaran, keikhlasan, ihsan dan keadilan demi menyelamatkan bangsa dan negara.
“Apakah kita bersedia lakukan pembaharuan, bertanggungjawab untuk bawa perubahan sedaya upaya, kita bawa kebaikan untuk selamatkan bangsa dan negara serta saya memilih untuk meluahkan ini kerana betapa pun saya rasa tersinggung, saya masih menaruh (harapan).
“Saya tahu dalam lubuk hati kita kecil, masih ada keinginan untuk buat sesuatu. Ini naluri insan yang Allah jadikan kepada kita.
“Kita ada beberapa kebatasan, kelemahan tapi di benak hati kita, damai dan naluri kita, tentunya sebagai manusia, ada insan menginginkan sesuatu dan saya mendoakan kepada Allah, mudah-mudahan kita dapat lakukan sebaik mungkin,” katanya.-UTUSAN










