KUALA LUMPUR: ISF Group Berhad (ISF) mencatatkan permulaan memberangsangkan pada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, apabila dibuka pada harga 50 sen sesaham, melonjak 52 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 33 sen.
Saham penyedia penyelesaian paip menyeluruh itu kemudian meningkat ke paras 51 sen setakat pukul 9.02 pagi, menjadikannya kaunter paling aktif dengan lebih 140 juta saham bertukar tangan.
Pengarah Urusan ISF, Jeff Ai Boon Chen berkata, kejayaan penyenaraian itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan korporat syarikat yang dibina atas asas kukuh dan usaha gigih pasukannya selama ini.
Menurutnya, status sebagai syarikat tersenarai membolehkan ISF mempertingkatkan skala perniagaan untuk mengendalikan projek dengan nilai kontrak yang lebih besar serta memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.
“Kami menjangkakan momentum positif daripada Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang akan datang, yang dijangka terus memberi keutamaan kepada perumahan mampu milik serta menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam.
“Inisiatif ini bakal menyokong aktiviti pembinaan kediaman dan seterusnya memacu permintaan terhadap sistem paip air terawat dan pembetungan,” katanya dalam majlis penyenaraian syarikat itu di sini, semalam.
Boon Chen berkata, penubuhan Pejabat AI Kebangsaan dijangka mempercepatkan pertumbuhan industri pusat data domestik yang diunjurkan mencapai nilai RM59.6 bilion menjelang 2030.
Katanya, segmen pusat data syarikat yang semakin berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini akan terus menyokong prestasi masa hadapan kumpulan selaras dengan unjuran pertumbuhan industri tersebut.
Mengenai penggunaan dana IPO sebanyak RM61.15 juta yang diraih, ISF telah memperuntukkan RM11.35 juta iaitu 18.56 peratus untuk membina dan memperluaskan kemudahan operasi, manakala RM39.90 juta iaitu 65.25 peratus akan digunakan sebagai modal kerja.
“Sebanyak RM2.05 juta diperuntukkan bagi pembangunan aktiviti perniagaan sedia ada, RM1.85 juta untuk pembesaran tenaga kerja, RM1.20 juta bagi pembayaran balik pinjaman dan baki RM4.80 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
“Secara kolektif, inisiatif ini akan meningkatkan kapasiti operasi kami dan meletakkan ISF pada kedudukan terbaik untuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya.
Alliance Islamic Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penanggung jamin tunggal dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan. – UTUSAN










