KINABATANGAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag bukan sekadar pertandingan politik, tetapi soal mandat rakyat dan kestabilan masa depan kawasan itu.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, oleh itu, BN bergerak sebagai satu pasukan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Keadilan Rakyat (PKR), UPKO dan PBRS untuk memenangi PRK itu.
“PRK ini bukan sekadar pertandingan politik, tetapi soal mandat rakyat dan kestabilan masa depan kawasan.
“Kita bergerak sebagai satu pasukan, satu suara dan satu matlamat untuk menang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan kerajaan perpaduan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu memastikan gerak kerja jentera lebih tersusun dan strategi kempen diperkukuh untuk PRK Kinabatangan dan Lamag.
Mesyuarat itu turut dihadiri wakil kepimpinan BN, GRS, PKR, UPKO, dan PBRS, sekali gus mencerminkan kesepaduan serta komitmen bersama untuk memastikan kemenangan calon BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar (Parlimen Kinabatangan) dan Mohd Ismail Ayob (Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag).
Jafry menekankan kepentingan mengukuhkan perpaduan kerajaan negeri menerusi parti komponen dalam kerajaan perpaduan, sambil menyampaikan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas sokongan padu beliau terhadap penyelarasan itu.
Katanya, kestabilan politik dan keberkesanan pentadbiran negeri sangat bergantung kepada kesepakatan parti komponen dalam membina dasar yang konsisten, menyeluruh dan berpandangan jauh demi kepentingan rakyat.
“PRK ini bukan sekadar pertandingan politik, tetapi soal mandat rakyat dan kestabilan masa depan kawasan. Kita bergerak sebagai satu pasukan, satu suara dan satu matlamat untuk menang,” katanya. – UTUSAN










