PETALING JAYA: BMS Holdings Berhad (BMS Holdings) membuka bilik pameran runcit baharu di Puchong susulan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad, baru-baru ini.
Peruncit dan pengedar jubin, permukaan batu, peralatan mandian dan peralatan dapur itu bergerak di bawah jenama Jubin BMS itu bergerak pantas untuk melaksanakan strategi pertumbuhan syarikat di sekitar Lembah Klang.
Bilik pameran itu terletak di Kinrara dibuka seluas 6,481.26 kaki persegi dan berada di kedudukan strategik untuk menampung keperluan kawasan perumahan dan komersial berkepadatan tinggi merangkumi Puchong, Sunway dan Bukit Jalil.
Pengarah Urusan BMS Holdings, Ang Kwee Peng berkata, pembukaan bilik pameran runcit itu turut mencerminkan pendekatan pengembangan berdisiplin kumpulan yang tertumpu pada kualiti lokasi, akses pelanggan dan potensi pasaran jangka panjang.
“Bilik pameran runcit baharu ini memperkukuh kehadiran BMS Holdings di koridor pembaikan rumah utama Lembah Klang, seiring komitmen meningkatkan pengalaman runcit dan perluasan jejak nasional,” katanya dalam kenyataan.
Lokasi ini menawarkan keterlihatan komersial yang kukuh, dikelilingi oleh jenama perabot rumah dan automobil yang mantap dan menyediakan akses mudah dengan tempat letak kereta yang luas.
Gabungan pembangunan baharu dan taman perumahan matang yang seimbang di kawasan ini meletakkan bilik pameran dengan baik untuk menampung permintaan yang konsisten daripada pemilik rumah dan pengubahsuaian.
Bilik pameran runcit dikendalikan secara sewa dan direka bentuk untuk memberikan pengalaman bilik pameran yang luas, teratur dan berteraskan pelanggan.
Bagi merangsang daya tarikan awal, kumpulan melancarkan promosi pembukaan, aktiviti hujung minggu serta inisiatif penglibatan pelanggan.
Ia termasuk tawaran kopi percuma sebagai pendekatan merekrut pereka dalaman dan kontraktor ke dalam program kesetiaan BMS Holdings.
Strategi fizikal itu turut dilengkapi dengan pendekatan pemasaran berbilang saluran, memastikan keterlihatan digital yang kukuh merentasi carian Google, Peta Google dan platform media sosial utama untuk menampung permintaan yang dirancang dan tidak dijangka.
Pembukaan bilik pameran itu menandakan fasa awal pelaksanaan pelan pengembangan runcit BMS Holdings seperti digariskan dalam prospektusnya termasuk perancangan pembukaan tujuh bilik pameran runcit baharu di Lembah Klang antara 2026 hingga 2028 serta pembangunan bilik pameran runcit binaan khas dengan kemudahan penyimpanan di Seremban, Negeri Sembilan.
Selepas Shah Alam, kumpulan turut memperoleh tapak milik sendiri di Rawang bagi pengembangan Lembah Klang pada masa hadapan manakala pembinaan bilik pameran Seremban dijangka berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan.
Secara keseluruhan, pengembangan runcit di Lembah Klang melibatkan anggaran kos RM36.5 juta, dengan RM9.7 juta dibiayai daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) manakala selebihnya melalui dana dalaman dan pembiayaan bank.
Bagi projek di Seremban pula, kos dianggarkan RM10.5 juta termasuk RM3.3 juta daripada hasil IPO.
BMS Holdings akan terus mengamalkan pendekatan pengembangan berdisiplin dan berasaskan data dengan fokus kepada lokasi strategik, produktiviti bilik pameran, pengukuhan jenama serta penglibatan pelanggan merentasi saluran fizikal dan digital.
Sebagai syarikat tersenarai baharu, kumpulan meletakkan komitmen yang tinggi terhadap pengurusan modal berhemat dan pelaksanaan konsisten demi membina nilai jangka panjang kepada pemegang saham. – UTUSAN










