KUALA LUMPUR: Walaupun jodoh sebagai suami isteri telah berakhir, pelakon, Uqasha Senrose tidak menolak kemungkinan untuk mengekalkan hubungan baik sebagai rakan dengan bekas suaminya, Kamal Adli.
Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, berkata keutamaan hidupnya ketika ini adalah untuk membesarkan anak perempuan mereka, Hawra Uqaira.
“Insya-Allah,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada dia bersedia untuk mengekalkan hubungan baik sebagai kawan selepas perceraian mereka.
Pelakon itu ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas mengenai permintaan Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, untuk lebih mudah bertemu anak mereka, Uqasha menegaskan dia tidak pernah menghalang hasrat tersebut.
“Tiada masalah untuk dia berjumpa dengan Hawra. Tidak pernah ada masalah.
“Saya juga tidak boleh mendedahkan perkara tertentu kerana telah dimaklumkan supaya tidak membuka aib sesiapa.
“Untuk masa hadapan, saya tiada masalah sekiranya dia mahu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa,” katanya.
Terdahulu, pasangan selebriti Kamal Adli dan Uqasha Senrose sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada jam 12.56 tengah hari, semalam.
Lafaz cerai dibuat oleh Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Adli, 40, di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. -UTUSAN










