Bekas tenaga pengajar maahad tahfiz tidak mengaku cederakan pelajar

Bekas tenaga pengajar maahad tahfiz tidak mengaku cederakan pelajar

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang bekas tenaga pengajar sebuah maahad tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Abdullah Abu Bakar, 26, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar berusia 11 tahun di asrama pusat tahfiz di Sungai Kob, kira-kira pukul 10 malam pada 29 September tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam daripada firma Hisham Yunus & Co. memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh telah diberhentikan kerja dan tidak mempunyai pendapatan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga diperintahkan tidak mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Mac depan.

Sebelum ini, polis mengesahkan kejadian seorang pelajar tahfiz dirotan seorang lelaki yang tular di media sosial berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, Kulim pada September tahun lalu.

Kejadian tersebut membabitkan murid lelaki berusia 11 tahun yang dipercayai mengganggu murid lain yang sedang belajar, sebelum ibu bapa mangsa membuat laporan polis pada 3 Oktober lalu apabila menyedari kesan lebam pada tubuh anak mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN