Bekas pengurus kanan tidak mengaku terima, lupus wang RM1.4 juta - Utusan Malaysia

Bekas pengurus kanan tidak mengaku terima, lupus wang RM1.4 juta

V. N. Vemal (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan menerima dan melupuskan wang lebih RM1.4 juta milik sebuah syarikat di Indonesia, tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat multinasional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menerima dan melupuskan wang lebih RM1.4 juta milik sebuah syarikat di Indonesia, tiga tahun lalu.

Tertuduh, V. N. Vemal, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara tidak jujur telah menerima harta curi dalam akaun Maybank miliknya iaitu wang berjumlah RM1,479,289.94 kepunyaan PT Parit Sembada yang merupakan anak syarikat milik Kuala Lumpur Kepong Berhad.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Jalan Sultan Idris Shah dalam daerah Ipoh pada 29 September 2023.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara tidak jujur melupuskan harta iaitu wang berjumlah RM1,082,005 dengan mengalihkan wang itu daripada akaun Maybank miliknya ke akaun Syarikat Pine Properties sedangkan dia mengetahui wang itu milik PT Parit Sembada di lokasi dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Gurbachan Singh dan Aashwini Rajan.

Terdahulu, Muhammad Zulqarnain mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi dua pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh juga perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Mac depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN