PETALING JAYA: Bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, sehingga meragut 15 nyawa penuntut universiti tidak dilengkapi tali pinggang keselamatan pada semua tempat duduk penumpang dan pemandu kedua.
Menurut laporan akhir, ketiadaan tali pinggang keselamatan itu dikenal pasti sebagai kelemahan ketara dalam sistem keselamatan pasif, sekali gus berpotensi meningkatkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
Katanya, tali pinggang keselamatan hanya dipasang pada tempat duduk pemandu utama, manakala semua tempat duduk penumpang serta pemandu kedua tidak dilengkapi ciri keselamatan berkenaan.
“Ketiadaan tali pinggang keselamatan di tempat duduk penumpang merupakan satu kekangan keselamatan pasif yang signifikan,” kata laporan tersebut.
Tambah laporan itu, bas tersebut dibina mengikut Pelan Teknikal yang diluluskan (UN R 66).
Namun struktur bumbung dan tiang bumbung di sebelah kiri gagal menahan impak lateral daripada penghadang jalan, menyebabkan penghadang jenis W-beam menembusi ruang kabin. – UTUSAN










