IPOH: Selepas didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna wang misi kemanusiaan di dua mahkamah di Kuala Lumpur dan Melaka, bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim sekali lagi dituduh hari ini atas 10 pertuduhan sama.
Tertuduh, Mohd. Hakim Mohd. Nor, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyalahguna harta milik pertubuhan iaitu wang derma misi kemanusiaan yang dijalankan dengan kerjasama pertububan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin dengan dengan jumlah keseluruhan RM631,373.13.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa cawangan bank di Ipoh, Batu Gajah dan Seri Iskandar antara Januari 2018 hingga November 2021.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, memohon agar mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka untuk dibicarakan bersama satu lagi kes yang telah difailkan di mahkamah berkenaan.
Pihak pendakwaan juga tidak memohon jaminan baharu sebaliknya mencadangkan tertuduh menggunakan jaminan sama yang dikenakan ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.
Peguam tertuduh, Azizzul Shariman Mat Yusoff, tidak membantah permohonan tersebut.
Hakim Meor Sulaiman kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan semua kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk dibicarakan bersama.
Untuk rekod, tertuduh sebelum ini didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di Melaka dan Kuala Lumpur masing-masing untuk enam dan satu pertuduhan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM783,000. – UTUSAN










