PETALING JAYA: Malaysia Airlines (Mas) akan menambah penerbangan antara Kuala Lumpur dan Heathrow, London (LHR) serta Kuala Lumpur dan Paris Charles de Gaulle (CDG) bermula 6 hingga 8 Mac ini bagi membantu penumpang yang terjejas akibat gangguan penerbangan global.
Menurut syarikat penerbangan itu, pengenalan penerbangan tambahan antara Asia dan Eropah itu bertujuan membantu menyatukan keluarga serta memudahkan perjalanan sambungan penumpang di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik ketika ini.
“Semua penerbangan akan beroperasi melalui laluan alternatif yang dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kawasan terjejas. Keselamatan penumpang kekal menjadi keutamaan kami.
“Selain penerbangan tambahan ini, kami juga akan meneruskan operasi penerbangan harian seperti biasa di samping mengendalikan penerbangan tambahan menggunakan pesawat Airbus A350-900,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, MAS berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan rakan syarikat penerbangan di Eropah, Asia dan rantau lain bagi memudahkan perjalanan sambungan penumpang yang terjejas dalam rangkaian penerbangan global.
“Tiket bagi penerbangan tambahan itu boleh ditempah melalui laman web www.malaysiaairlines.com atau aplikasi mudah alih Malaysia Airlines,” katanya.
Bermula 6 Mac, penerbangan MH7014 bagi laluan Kuala Lumpur-Paris Charles de Gaulle (CDG) akan berlepas pada pukul 2.15 petang dan tiba pada pukul 9.10 malam, manakala penerbangan pulang MH7015 dari Paris ke Kuala Lumpur berlepas pada pukul 11.30 malam dan dijangka tiba pada pukul 7.10 malam hari berikutnya.
Pada 7 Mac, penerbangan MH7004 bagi laluan Kuala Lumpur-London Heathrow (LHR) akan berlepas pada pukul 10 pagi dan tiba pada pukul 4.10 petang, sementara penerbangan pulang MH7003 dari London ke Kuala Lumpur berlepas pada pukul 5.40 petang dan tiba pada pukul 2.30 petang keesokan hari.
Pada 8 Mac 2026, satu lagi penerbangan MH7004 bagi laluan Kuala Lumpur-London Heathrow akan berlepas pada pukul 11.15 pagi dan tiba pada pukul 5.25 petang, manakala penerbangan pulang MH7003 dari London ke Kuala Lumpur dijadual berlepas pada pukul 8.30 malam dan tiba pada pukul 5.20 petang hari berikutnya. – UTUSAN








