GEORGE TOWN : Bayi lelaki warga asing yang tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam sebuah pangsapuri di Ayer Itam di sini pagi tadi dipercayai mempunyai masalah kesihatan iaitu berkaitan paru-paru.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake selepas bedah siasat selesai dijalankan oleh Jabatan Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang.
Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan juga mengesahkan bahawa tiada unsur jenayah dikesan pada tubuh si mati yang berusia enam bulan itu.
“Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) telah dibuka untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.55 pagi itu, bayi tersebut dikatakan tidak sedarkan diri ketika berada di atas katil dalam bilik tidur dan kejadian berkenaan disedari oleh kedua ibu bapanya sebelum mereka memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.-UTUSAN










