Bantuan, pemantauan pasca banjir terus diutamakan - Utusan Malaysia

Bantuan, pemantauan pasca banjir terus diutamakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bantuan kecemasan kepada penduduk terjejas banjir di beberapa kawasan di Bintulu dan Sebauh di Sarawak disalurkan segera walaupun berdepan kesukaran akibat kerosakan serta gangguan laluan jalan raya susulan hujan berterusan.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sebaik paras air menunjukkan peningkatan, pasukan kecemasan telah digerakkan bagi melaksanakan bantuan kecemasan serta menyelaras penghantaran bekalan ke kawasan terlibat.

“Tiga buah rumah panjang di kawasan Ulu Sebauh, iaitu Rumah Saging, Rumah Dato Raymond dan Rumah Singer terjejas akibat peningkatan paras air sungai, menyebabkan sebahagian kediaman ditenggelami air manakala kawasan sekitarnya masih dikelilingi limpahan banjir yang belum surut.

“Bagaimanapun, laluan darat ke kawasan terjejas tidak dapat dilalui berikutan paras air yang masih tinggi, memaksa pasukan menggunakan bot untuk memasuki ketiga-tiga rumah panjang berkenaan.

“Walaupun banyak jalan terjejas, pasukan terus menghantar bekalan ke kawasan terlibat bagi memastikan bantuan sampai kepada penduduk yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, meskipun beberapa laluan utama terjejas sehingga menyukarkan pergerakan, pihaknya tetap komited memastikan bekalan keperluan asas dapat dihantar kepada penduduk tanpa berlengah.

Mengulas lanjut, King Sing turut berkata, walaupun keadaan banjir beransur reda, tumpuan pasukan kini dialihkan kepada lawatan serta pemantauan di lapangan bagi menilai keperluan susulan dan keadaan semasa penduduk terjejas.

“Apabila ada kawasan banjir yang sudah beransur pulih, pasukan kami segera turun ke rumah panjang untuk berbincang secara langsung dengan komuniti setempat, selain mendengar serta memahami cabaran yang masih dihadapi akibat bencana tersebut.

“Bantuan dan tindakan susulan akan terus dilaksanakan sama ada ketika bencana berlaku mahupun selepas air banjir surut bagi memastikan kebajikan penduduk terus diberi perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk supaya terus berwaspada, memantau perkembangan cuaca semasa serta memastikan keselamatan persekitaran masing-masing sentiasa terjaga.

Selain itu, katanya penduduk digalakkan menghubungi pihak berkaitan atau pasukannya sekiranya berlaku sebarang keperluan kecemasan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN