Bantuan Kembali ke Sekolah RMHC legakan keluarga kurang mampu - Utusan Malaysia

Bantuan Kembali ke Sekolah RMHC legakan keluarga kurang mampu

RMHC Malaysia di Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Bagi kebanyakan kanak-kanak hari pertama persekolahan penuh dengan harapan dan keterujaan. Namun, bagi keluarga berpendapatan rendah, ia saat penuh kebimbangan bagi menyediakan kelengkapan persekolahan yang lengkap buat anak-anak mereka.

Namun kebimbangan itu bertukar menjadi senyuman apabila seramai 300 murid daripada 17 buah sekolah sekitar Gemas termasuk Felda Pasir Besar di sini menerima bantuan menerusi Program Pek Kembali ke Sekolah oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia dan Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, program yang memasuki kali ke-10 pelaksanaannya itu membuktikan komitmen berterusan RMHC Malaysia dalam menyokong pendidikan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, program berkenaan bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Besar pada tahun 2017 sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

“Alhamdulillah kali ini kita menyaksikan sumbangan terbesar disalurkan menerusi Yayasan Jaafar Ahmad dengan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi pembelian 350 pek Kembali ke Sekolah.

“Kita faham apabila sesi persekolahan bermula, ibu bapa perlu menyediakan pelbagai peralatan dan ini menjadi beban terutama kepada keluarga peneroka dan penduduk kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan

Program Pek Kembali ke Sekolah RMHC Malaysia, di Dewan Semai Bakti, Felda Pasir Besar, Gemas, baru-baru ini.

Pengasas Yayasan Jaafar Ahmad itu berkata, setiap pek yang diagihkan merangkumi beg sekolah, alat tulis lengkap, botol air serta baucar bagi penebusan sepasang pakaian seragam dan kasut sekolah, bagi memastikan murid hadir ke sekolah dengan penuh keyakinan.

RMHC Malaysia turut berkolaborasi dengan pasaraya Mydin selaku rakan strategik yang menyediakan khemah khas di lokasi program bagi membolehkan murid memilih pakaian sekolah mengikut saiz masing-masing.

Azmir berkata, sejak program tersebut dilaksanakan lebih RM12 juta disalurkan bagi memberi manfaat kepada hampir 200,000 pelajar di seluruh negara dengan pengagihan sebanyak 5,000 pek bantuan menjelang sesi persekolahan 2026.

Katanya, kajian yang dijalankan bersama pihak sekolah menunjukkan murid yang menerima inisiatif tersebut lebih yakin hadir ke sekolah sekali gus meningkatkan kadar kehadiran dan prestasi akademik.

“Apabila kehadiran meningkat, pencapaian akademik juga menunjukkan peningkatan. Perkembangan ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada murid, malah ibu bapa turut lebih terlibat membantu pembelajaran anak-anak di rumah,” katanya.

AZMIR Jaafar menyerahkan bantuan kepada penerima sumbangan Program Pek Kembali ke Sekolah Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia di Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar, Gemas, baru-baru ini.

Menurutnya, kejayaan itu terbukti apabila SK Pasir Besar menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah kecemerlangan di peringkat daerah dan negeri sepanjang tempoh sembilan tahun pelaksanaan program.

Azmir berkata, Yayasan Jaafar Ahmad merancang memperluaskan sokongan pendidikan dengan pelaksanaan kelas tuisyen tambahan bermula tahun hadapan, khususnya bagi subjek sains dan matematik.

“Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sepatutnya dibina di tingkatan lima, sebaliknya perlu bermula sejak tingkatan satu.

“Usaha awal ini penting bagi memastikan pelajar berjaya ke peringkat universiti dan seterusnya dapat berbakti kepada komuniti mereka kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi RMHC Malaysia, Mohd. Nasri Mohd. Nordin berkata, program tersebut memberi impak besar kepada murid tahun satu yang memerlukan kelengkapan sekolah buat kali pertama.

“Apabila anak-anak melangkah ke sekolah dengan serba baharu, semangat mereka berbeza. Jika dahulu ada yang menangis, kini mereka hadir ke sekolah dengan penuh keterujaan,” katanya.

Katanya, selain bantuan kelengkapan persekolahan, Yayasan Jaafar Ahmad turut menyalurkan sumbangan berbentuk penambahbaikan prasarana sekolah termasuk penggunaan pembelajaran digital dan sokongan kepada pasukan robotik sekolah.

Lebih menarik, bantuan kebajikan tersebut turut merangkumi sumbangan makanan kepada murid asnaf bagi memastikan mereka memulakan sesi pembelajaran dengan perut yang terisi,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 500 Pek Kembali ke Sekolah diperuntukkan untuk Negeri Sembilan, dengan lebih 300 pek diagihkan di sekitar daerah Tampin manakala selebihnya diedarkan ke daerah lain.

“Kami juga berharap kerjasama antara syarikat, NGO dan yayasan seperti ini dapat dijadikan contoh bagi membangunkan komuniti setempat secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Yayasan Jaafar Ahmad, Zainuddin Jaafar berkata, bantuan yang disalurkan amat membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa.

“Maklum balas daripada ibu bapa sangat positif. Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat mengurangkan perbelanjaan harian untuk membeli pakaian dan kelengkapan sekolah,” ujarnya.

Seorang penerima, Norhidayu Ab Samad, 33, berkata, sebagai seorang suri rumah, bantuan yang diterima memberi kelegaan besar memandangkan hanya suaminya bekerja dengan pendapatan sekitar RM900 sebulan.

“Saya memang terharu kerana sebelum ini anak-anak jarang berpeluang memakai pakaian sekolah baharu dan kebanyakannya menggunakan pakaian terpakai.

“Anak saya tidak sabar hendak memakai baju sekolah baharu. Perkara kecil seperti ini memberi makna besar kepada kami sebagai ibu bapa,” katanya.

Bagi Syafiqah Alwi, 31, yang bekerja sebagai ahli farmasi, kos untuk membeli kasut, beg dan pakaian seragam sekolah boleh mencecah antara RM200 hingga RM300 bagi seorang anak.

“Saya gembira dan anak juga lebih bersemangat untuk ke sekolah. Dari segi kewangan, bantuan ini memang sangat menjimatkan kos kerana persediaan awal persekolahan bukanlah murah.

“Apabila menerima bantuan ini, kos tersebut dapat dikurangkan dan lebihan wang boleh digunakan untuk membeli buku latihan serta peralatan pembelajaran lain, terutama bagi ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak,” katanya.

Sementara itu, Nina Sakina Bahron, 33, seorang suri rumah dan ibu kepada empat anak berkata, bantuan berkenaan amat bermakna buat keluarganya memandangkan perbelanjaan persekolahan melibatkan kos yang tinggi.

“Saya berasa sangat gembira dan terharu. Banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan apabila anak ramai, jadi bantuan ini benar-benar mengurangkan beban,” katanya.

Menurutnya, kos pakaian dan kelengkapan sekolah sahaja boleh mencecah hampir RM1,000 bagi beberapa orang anak.

“Saya juga berharap program ini dapat diteruskan untuk membantu lebih ramai anak-anak yang akan melangkah ke alam persekolahan pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN