KUALA TERENGGANU: Bantuan awal persekolahan (BAP) berjumlah RM780 juta akan diagihkan kepada 5.2 juta pelajar bermula minggu ini.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menyalurkan bantuan itu kepada pengurusan sekolah dan boleh diagihkan kepada pelajar bermula esok.
“Kita harap pihak sekolah boleh agihkan BAP bermula esok dan dijangka selesai minggu ini. Setiap pelajar mendapat RM150. Jika lima anak yang bersekolah, kelima-limanya layak mendapat BAP.
“Semua pelajar layak menerima bantuan awal ini termasuk pelajar tingkatan enam,” katanya dalam sidang akhbar pada Sesi Lawatan Hari Pertama Persekolahan 2026 di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek , di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri, Kamsah@Kamal Mohamed.
Pada sesi kali ini, seramai 21,300 murid tahun satu di negeri ini memulakan persekolahan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pemasangan kamera litar tertutup ( CCTV) di sekolah dilaksanakan secara berperingkat dengan fokus kepada sekolah berasrama dan mempunyai jumlah pelajar tinggi.
Katanya, sepanjang tahun lalu, sejumlah RM5 juta diperuntukkan untuk pemasangan CCTV di sekolah.
“Jumlah sekolah di seluruh negara adalah 10,247 dan bertambah tahun ini. Jadi kita akan teliti perkara itu secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN










