Bantu umat Islam ditindas tuntutan agama

Bantu umat Islam ditindas tuntutan agama

AHMAD FAHMY ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU penindasan dan penderitaan umat Islam di bumi bergolak seperti Palestin, Sudan serta beberapa negara Islam lain terus menjadi ujian besar kepada kesatuan dan kepekaan ummah sejagat ketika ini.

Konflik berpanjangan, peperangan, kebuluran dan sekatan kemanusiaan bukan sahaja meragut nyawa, malah, menguji sejauh mana umat Islam menghayati makna persaudaraan seagama yang sebenar.

Menurut pendakwah bebas, Ahmad Fahmi Abu Bakar, 52, kekuatan Islam sebenarnya terletak pada dua asas utama iaitu akidah dan ukhuwah sesama Muslim.

Katanya, kedua-dua elemen itu saling berkait rapat sehingga Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Hujurat ayat 10 bahawa sesungguhnya orang beriman itu bersaudara.

Katanya, ia dikuatkan pula dengan sebuah Hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengambil berat terhadap urusan (hal ehwal) kaum Muslimin, maka dia bukan daripada kalangan mereka.” (Riwayat At Thabrani).’

“Sekali pun hadis ini sanadnya lemah, namun, maksudnya sahih kerana dikuatkan dengan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim iaitu ‘Perumpamaan orang beriman dalam kasih sayang, belas kasihan dan saling menyantuni adalah seperti satu tubuh. Apabila satu anggota mengadu sakit, seluruh tubuh turut merasainya dengan tidak dapat tidur dan demam.

“Oleh itu, berdasarkan kepada dalil-dalil di atas, mengambil berat ke atas apa sahaja musibah yang menimpa umat Islam di Palestin, Sudan atau di mana sahaja adalah wajib dan bukan suatu pilihan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Ahmad Fahmi yang juga Mudir Am Madrasah al-Quran Wal Arabiyyah (MAWAR) berkata, kewajipan membantu umat Islam di bumi bergolak tersebut terikat dengan kemampuan setiap individu sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286 yang menegaskan bahawa Dia tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Sehubungan itu, Ahmad Fahmi berkata, bantuan kepada umat Islam yang ditindas adalah fardu ain mengikut kadar kemampuan masing-masing, sama ada melalui harta, tenaga, lidah atau doa.

Menurut beliau, sikap tidak ambil peduli terhadap penderitaan umat Islam sedangkan seseorang itu berkemampuan untuk membantu boleh membawa kepada dosa.

Ahmad Fahmi Abu Bakar

Usia :  52 tahun

Kerjaya :

  1. Mudir Am Madrasah Al Quran Wal Arabiyyah (MAWAR)
  2. Setiausaha Yayasan Mawar Pulau Pinang
  3. Pendakwah Bebas

Ahmad Fahmi yang juga Setiausaha Yayasan Mawar Pulau Pinang berkata, dalam hal ini, Islam tidak mengehadkan bantuan hanya dalam bentuk kewangan semata-mata, sebaliknya, umat Islam digalakkan membantu melalui pelbagai saluran seperti menjadi sukarelawan kemanusiaan, penulisan, penyebaran kesedaran serta sokongan moral.

“Setiap orang mempunyai kelebihan dan kemahiran berbeza. Maka, gunakanlah apa yang ada untuk membantu saudara seagama yang dizalimi,” katanya yang menegaskan doa merupakan bentuk bantuan paling minimum tetapi paling universal kerana setiap Muslim mampu melaksanakannya.

Menyentuh soal keseimbangan tanggungjawab pula, Ahmad Fahmi menjelaskan bahawa membantu umat Islam di luar negara tidak bermakna mengabaikan keluarga dan masyarakat setempat.

Beliau mengumpamakan situasi itu seperti berkongsi makanan dengan orang yang memerlukan tanpa menyebabkan ahli keluarga sendiri kelaparan.
“Bantuan yang diberi tidak akan memiskinkan kita, bahkan akan menambah keberkatan dalam kehidupan,” katanya yang menekankan peranan besar ulama dalam memastikan isu penindasan umat Islam terus diberi perhatian.

Dalam pada itu, beliau berkata, ulama perlu konsisten menyampaikan dakwah, memberi panduan serta membentuk kefahaman umat agar tidak terjerumus kepada fahaman melampau.

“Pendekatan berhikmah amat penting supaya semangat membantu tidak disalahguna hingga merosakkan imej Islam,” katanya yang memberitahu, golongan ulama juga perlu turun ke lapangan melalui ceramah, penulisan dan pendidikan tanpa mengharapkan ganjaran material.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×