IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyambut baik kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memutuskan parti itu akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pendirian Timbalan Perdana Menteri itu jelas menunjukkan kematangan dalam berpolitik apabila meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan berbanding kepentingan peribadi atau parti.
“Kita ucap terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kerana beliau faham tentang keperluan untuk mengekalkan atau terus mengukuhkan kestabilan politik dalam negara.
“Tidak seperti sebahagian kecil kepimpinan lain yang bercakap dengan emosi dan tidak berfikir waras serta panjang ke hadapan dan meletakkan kepentingan negara di hadapan melebihi diri sendiri dan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di Pasaraya Borong Sakan di Pusat Perdagangan Klebang di Chemor, di sini hari ini.
Pada program itu, seramai 250 keluarga golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar eKasih di seluruh Perak menerima sumbangan sebanyak RM400.
Menurut beliau, sifat sedemikian perlu ada pada setiap pemimpin bagi memastikan rakyat terus mendapat manfaat daripada pemerintahan yang stabil.
“Nak jadi negarawan dan pemimpin yang baik ini, kepentingan untuk negara perlu diletakkan sebagai keutamaan berbanding dengan hal lain,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Beliau yang mengulas desakan supaya UMNO dan Pas menghidupkan semula kerjasama di bawah payung Muafakat Nasional (MN) berkata, UMNO tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ khususnya dalam hubungan politik. – UTUSAN











