ALAA Consultancy, RightJet sasar jadikan Malaysia hab penerbangan peribadi serantau - Utusan Malaysia

ALAA Consultancy, RightJet sasar jadikan Malaysia hab penerbangan peribadi serantau

HUSNA Nashim (kiri) dan Mark Hardman ketika permeteraian strategik bagi pengembangan jenama RightJet ke pasaran Asia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ALAA Consultancy (M) Sdn. Bhd. dan syarikat penerbangan antarabangsa, RightJet memeterai kerjasama strategik bagi memacu pengembangan jenama RightJet ke pasaran Asia dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancaran utama.

Langkah tersebut dijalankan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan RightJet Asia sebagai pemain utama dalam ekosistem penerbangan swasta di rantau ini.

Menerusi kerjasama itu, RightJet akan memanfaatkan kepakaran serantau, rangkaian institusi serta akses pasaran rentas sempadan yang dimiliki oleh ALAA Consultancy untuk membina kedudukan jenama jangka panjang di Malaysia, Asia dan Timur Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutif RightJet, Mark Hardman berkata, pemeteraian MoU tersebut merupakan refleksi kepada visi jangka panjang syarikat untuk memperluas strategi penerbangan swasta melampaui pasaran sedia ada.

“Asia merupakan pasaran yang sangat dinamik dan kami melihat potensi besar untuk memperkenalkan kecemerlangan perkhidmatan penerbangan swasta kami di sini menerusi perkongsian strategik ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ALAA Consultancy, Husna Nashim berkata, Malaysia merupakan pintu masuk strategik yang bertindak sebagai jambatan semula jadi yang menghubungkan pasaran Asia dengan Timur Tengah dan destinasi global yang lain.

Menurutnya, kolaborasi itu juga selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam usaha kerajaan mempertingkatkan tawaran pelancongan premium.

“Kami komited untuk menyokong aspirasi nasional bagi menarik lebih ramai pelancong bernilai tinggi menerusi perkhidmatan penerbangan perniagaan dan swasta yang lebih cekap.

“Selain mengukuhkan ketersambungan antarabangsa, inisiatif ini bakal meletakkan Malaysia sebagai hub serantau bagi sektor penerbangan dan pelancongan mewah,” katanya.

Kerjasama antara ALAA Consultancy dan RightJet ini dijangka akan memberikan impak positif kepada landskap ekonomi negara, khususnya dalam merancakkan sub-sektor penerbangan am dan perniagaan yang kian berkembang pesat di rantau Asia Tenggara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN