PUTRAJAYA: Kira-kira 700,000 pekerja di negara ini akan dilatih semula bagi mengelak risiko hilang kerja akibat automasi yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030.
Ia bagi memastikan mereka tidak terjejas dan memiliki kemahiran supaya mampu beralih ke bidang baru berasaskan AI.
Itu antara inisiatif digerakkan Kementerian Digital melalui Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) bagi memastikan pekerja tidak ketinggalan di bawah strategi Negara AI 2030 (Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua NAIO, Shamsul Izhan Abdul Majid berkata, di bawah inisiatif saluran bakat berskala besar, fokus utama adalah menyediakan ‘jaringan keselamatan’ bagi pekerja yang berisiko kehilangan pekerjaan akibat automasi serta melatih semula tenaga kerja sedia ada.
Katanya, inisiatif ini dilaksanakan bersama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan melaksanakan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) secara besar-besaran agar pekerja boleh beralih ke peranan digital yang lebih bernilai tinggi.
“Strategi yang dilaksanakan ialah memperkenalkan Skilling Credits (MyMahir AI Skills) untuk individu berpendapatan rendah dan membangunkan Taksonomi Kerjaya dan Kemahiran Nasional yang dinamik.
“Selain mengekalkan pekerjaan sedia ada, fokus kerajaan mewujudkan ekosistem pekerjaan baharu yang lebih berkualiti termasuk pembangunan kerjaya masa hadapan seperti Jurutera AI, Saintis Data, dan Pakar Etika AI.
“Limpahan pelaburan dalam bidang AI dipastikan untuk diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi rakyat Malaysia,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, hampir tiga juta pekerja di negara ini dijangka terkesan akibat peralihan pesat ke arah penggunaan AI, pendigitalan dan agenda ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Menurut Kajian Impak AI, Pendigitalan dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja Malaysia yang dilaksanakan oleh TalentCorp, dianggarkan kira-kira 685,000 pekerja akan mengalami gangguan tahap tinggi, melibatkan 18 sektor utama pekerjaan.
Shamsul Izhan berkata, kerjasama bersama TalentCorp juga melaksanakan inisiatif Rangkaian Bakat Global bertujuan mengatasi kekurangan pakar AI tahap tinggi dengan menarik bakat terbaik dunia dan diaspora Malaysia untuk menyumbang kepada ekosistem tempatan.
Jelasnya, inisiatif ini dengan menarik pakar ‘super AI’ untuk memacu agenda inovasi tanpa mengira lokasi fizikal mereka (boleh secara remote atau on-site).
“Sasaran di bawah inisiatif ini adalah melahirkan atau menarik 2,000 pakar AI menjelang tahun 2030 (sasaran 500 pakar menjelang 2027).
“Strategi diguna pakai dengan memperkenalkan AI Talent Track (insentif khas) dan Pas e-Residensi Digital yang membolehkan pakar asing mengurus perniagaan AI di Malaysia secara jarak jauh,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, di bawah inisiatif Pendidikan Tinggi Berteraskan AI pula, sebanyak 95 peratus graduan disasarkan mencapai kadar kebolehpasaran graduan pakar AI menjelang 2030.
Katanya, inisiatif ini bertujuan mentransformasikan institusi pendidikan tinggi agar setiap graduan yang dilahirkan adalah ‘AI-Fluent’ (fasih AI) dengan mengintegrasikan AI ke dalam kurikulum universiti dan TVET serta memastikan kursus yang ditawarkan sejajar dengan keperluan industri.
“Ia dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi melalui strategi Laluan Akreditasi Pantas untuk modul AI dan mewujudkan Makmal AI Maya Kebangsaan bagi akses pembelajaran yang lebih luas,” katanya.
“Strategi dilaksanakan bersama Kementerian Pendidikan dengan melatih guru agar mahir menggunakan alat AI dalam pengajaran dan menyesuaikan kurikulum sekolah untuk merangkumi asas teknologi baru muncul,” katanya.
Dalam pada itu, NAIO bekerjasama rapat dengan pelbagai sektor untuk memastikan kemahiran pekerja sentiasa relevan dengan permintaan pasaran.
Ini termasuk pendedahan AI kepada penjawat awam melalui inisiatif seperti Google AI@Work 2.0 dengan kerajaan menyasarkan latihan AI kepada lebih 445,000 penjawat awam yang merupakan pengguna MyGovUC.
Ini bertujuan memperkasa penyampaian perkhidmatan awam menjadi lebih cekap dan kakitangan kerajaan mahir mengendalikan alatan AI.
Katanya, bagi sektor pendidikan pula, NAIO mengadakan libat urus dengan institusi pendidikan untuk memahami keperluan guru dan pensyarah dengan fokus diberikan kepada Latihan AI untuk guru atau tenaga pengajar.
“Langkah ini agar pendidik dapat memudah cara pembelajaran AI di peringkat sekolah dan universiti, sekali gus melahirkan graduan yang AI-ready. – UTUSAN










