IPOH: Kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak telah menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM20,000, yang disalurkan terus ke Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan dua bulan bagi elaun pengurusan pusat khidmat seperti yang diumumkan melalui Belanjawan Perak 2026 itu telah dikreditkan semalam.
“Semua wakil rakyat termasuk kerajaan dan pembangkang boleh semak akaun pusat khidmat masing-masing. Semalam, kita telah salurkan RM20,000 BKK untuk pusat khidmat.
“Tujuan saya memaklumkan perkara ini adalah supaya rakyat mengetahui bahawa semua wakil rakyat menerima bantuan RM20,000.
“Ini kerana terdapat beberapa kejadian di mana orang ramai mengunjungi pusat khidmat wakil rakyat pembangkang, namun dimaklumkan bahawa tiada bantuan diberikan sebaliknya mereka diminta mendapatkan bantuan di Pusat Khidmat Barisan Nasional,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Perak di Casuarina@Meru, di sini hari ini.
Menurut beliau, dakwaan mengatakan kerajaan negeri tidak menyalurkan bantuan kepada Pusat Khidmat DUN adalah tidak benar kerana setiap ADUN menerima peruntukan bulanan sebanyak RM10,000.
Katanya, jumlah itu meningkat daripada RM5,000 sebelum ini dan RM7,000 ketika awal pentadbirannya sebagai Menteri Besar.
“Daripada jumlah itu, RM7,000 diperuntukkan bagi pengurusan dan pentadbiran pusat khidmat manakala baki RM3,000 boleh digunakan untuk membantu keperluan rakyat.
“Dengan peruntukan bulanan RM3,000 itu, setahun jumlahnya RM36,000. Ditambah dengan BKK RM20,000, pusat khidmat mempunyai sehingga RM56,000 setahun untuk digunakan membantu rakyat,” katanya.
Saarani menegaskan, pemberian elaun RM10,000 secara sama rata kepada pusat khidmat wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu adalah antara yang tertinggi di negara ini.
“Di Perlis, pusat khidmat menerima RM5,000 sebulan, di Kedah hanya RM2,000. Perak beri RM10,000 sebulan dan turut beri BKK. Jadi isu kononnya kerajaan negeri tidak adil ini tidak sepatutnya timbul,” katanya.
Terdahulu, kerajaan Perak mengumumkan BKK sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam serta bantuan khas kepada pemimpin masyarakat serta guru-guru Kafa di negeri ini dengan bayaran telah dibuat, Disember lalu. – UTUSAN










