3 NGO kutip harta haram dalam radar SPRM

3 NGO kutip harta haram dalam radar SPRM

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu tadbir urus dan ketelusan pengurusan dana awam menjadi tumpuan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) popular dikesan mengumpul harta haram hasil kutipan dana berjuta ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sekurang-kurangnya tiga NGO kini berada dalam radar siasatan mereka dan akan terdapat pertuduhan dalam masa terdekat selepas siasatan mendapati wujud unsur penyelewengan dana.

Beliau kecewa berikutan masih ada NGO yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dan mengumpul kekayaan melalui kutipan dana awam.

“Dalam masa terdekat akan ada lagi NGO yang bakal diambil tindakan oleh SPRM

“Mereka masih menunggang agama, mengutip duit berjuta-juta tetapi wang masuk ke dalam akaun peribadi. Mereka ini termasuk pengerusi NGO itu akan dituduh di mahkamah tidak lama lagi,” katanya dalam podcast sebuah media semalam.

Beliau berkata, sikap dermawan rakyat Malaysia yang mudah bersimpati dan menyalurkan bantuan diambil kesempatan oleh golongan tidak jujur berkenaan. 

“Rakyat tertipu kerana mereka suka membantu (golongan memerlukan) melalui dana awam. Mereka sangkakan duit didermakan itu untuk (membantu) orang susah.

“Namun sifat pemurah diambil kesempatan organisasi ini. Saya dapati ada organisasi atau NGO termasuk yayasan disiasat SPRM didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” jelasnya. 

Azam mempersoalkan pihak yang seharusnya memantau kegiatan NGO dan yayasan ini.

“Ini duit rakyat tetapi rakyat kena tipu. Katanya duit derma dihantar ke Palestin tetapi ada ditukar kepada bentuk emas. Kenapa ? Ke mana duit derma itu ?

“Kami (SPRM) bukanlah agensi yang mengetuai semua perkara. Jabatan masing-masing perlu peka tentang apa yang berlaku. Kementerian-kementerian tertentu perlu monitor atau pantau dan buka mata,” jelasnya.

Menurutnya, SPRM sebelum ini sudah mengambil inisiatif membabitkan tindakan terhadap beberapa NGO yang melakukan penyelewengan dana awam.

“Ada beribu NGO di luar sana yang berdaftar di bawah ROS namun kami fokuskan kepada NGO yang terlalu ketara.NGO sebegini sentiasa di bawah pemantauan SPRM,” tegasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN