SERI KEMBANGAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuka 17 buah sekolah baharu sepanjang tahun 2026 bagi menampung keperluan pendidikan murid seiring pertambahan pelajar.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pembukaan sekolah baharu itu dilaksanakan secara berperingkat mengikut perancangan strategik kementerian serta kemampuan pelaksanaan di lapangan.
Menurutnya, antara sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 15 Putrajaya serta beberapa sekolah menengah baharu di kawasan berkepadatan tinggi pelajar.
“Selain itu, sebuah Sekolah Berasrama Penuh akan dibuka di Tanah Merah sebagai sebahagian perancangan pembukaan tujuh belas sekolah baharu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2026.
“Perancangan ini kita buat untuk memastikan kesemua 5.1 juta anak murid di seluruh Malaysia mendapatkan pendidikan yang berkualiti,” katanya dalam sidang akhbar selepas berucap pada hari pertama pembukan sekolah bagi kalendar akademik sesi 2026 di Sekolah Menengah (SMK) Seri Serdang di sini hari ini.
Tambah Mohd. Azam, pembinaan sekolah baharu itu bertujuan memastikan kemudahan pendidikan mencukupi, selesa dan selamat selari pertambahan murid di seluruh negara.
Katanya, sistem pendidikan kini menampung kira-kira 5.1 juta murid, sekali gus memerlukan perancangan rapi bagi menjamin akses pendidikan adil dan menyeluruh.
“Oleh itu, pembukaan sekolah baharu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana pendidikan memerlukan proses sistematik, strategik serta mengambil kira cabaran pelaksanaan semasa.
“Usaha membuka sekolah baharu adalah sebahagian komitmen kementerian memastikan pendidikan berkualiti dinikmati semua murid tanpa mengira lokasi,” katanya.
Mohd. Azam turut memaklumkan, seramai kira-kira 442,000 ribu murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2026 di seluruh negara.
“Selain itu, seramai 423,000 ribu pelajar tingkatan satu memulakan persekolahan menengah pada sesi tahun ini,” katanya. – UTUSAN










