LOS ANGELES: Filem thriller supernatural arahan Ryan Coogler, Sinners, mencipta sejarah apabila menjadi filem pertama menerima 16 pencalonan Anugerah Akademi (Oscar), sekali gus mencatat jumlah pencalonan tertinggi dalam sejarah anugerah berprestij itu.
Filem yang dibintangi Michael B. Jordan sebagai dua beradik kembar itu mengisahkan usaha mereka menubuhkan sebuah kelab muzik blues di Mississippi pada era 1930-an, sambil berdepan cabaran perkauman serta ancaman makhluk pontianak. Sehingga kini, Sinners telah meraih kutipan box office global sebanyak AS$368 juta di seluruh dunia.
Sinner memperoleh pencalonan utama termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki (Delroy Lindo), Pelakon Pembantu Wanita (Wunmi Mosaku) serta Anugerah Pemilihan Pelakon, kategori baharu yang diperkenalkan oleh Akademi.
Pencalonan dalam kategori Rekaan Kostum turut mencatat sejarah apabila pereka kostum terkenal, Ruth E. Carter, kini menjadi wanita kulit hitam paling banyak dicalonkan dalam sejarah Oscar selama 97 tahun, dengan keseluruhan lima pencalonan.
Sementara itu, pencalonan sinematografi kepada Autumn Durald Arkapaw menandakan hanya kali keempat seorang wanita dicalonkan dalam kategori tersebut.
Pengarah filem itu, Coogler mengakui terkejut apabila ahli keluarganya mula sudah berkumpul di kediamannya di Los Angeles seawal jam 5 pagi bagi menantikan pengumuman pencalonan Oscar.
“Ayah saya kira jumlah pencalonan bersama saya. Bila dia sebut angka 16, saya ingat dia tersilap kira sebab rasa sangat mustahil,” katanya.
Menurut Coogler, selepas laporan media mengesahkan jumlah pencalonan tersebut, bapanya dengan berseloroh mengingatkan bahawa kiraannya adalah tepat.
Kejayaan Sinners ini sekali gus memecahkan rekod 14 pencalonan yang sebelum ini dikongsi oleh All About Eve (1950), Titanic (1997) dan La La Land (2016). Namun begitu, pemerhati industri menjangkakan jumlah kemenangan filem itu mungkin tidak setinggi pencalonannya apabila malam anugerah berlangsung kelak.
Setakat musim anugerah tahun ini, filem komedi berunsur kontra-budaya berjudul One Battle After Another dilihat mendominasi dengan 13 pencalonan Oscar, sekali gus menjadi pencabar terdekat kepada Sinners.
Penulis dan pengarah tersohor, Paul Thomas Anderson, yang sebelum ini menerima 11 pencalonan tanpa sebarang kemenangan, diramal kuat akan memenangi kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Pelakon Teyana Taylor pula dijangka berpeluang cerah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita.
Majlis Anugerah Akademi ke-98 dijadual berlangsung pada Ahad, 15 Mac 2026, di Dolby Theatre, Ovation Hollywood, dan akan disiarkan secara langsung menerusi ABC serta ditayangkan di lebih 200 wilayah di seluruh dunia.










