135 kes tangkapan LGBT direkodkan dari 2022 hingga 2025

135 kes tangkapan LGBT direkodkan dari 2022 hingga 2025

ZULKIFLI HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 135 kes tangkapan berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh 2022 hingga 2025, melibatkan penguatkuasaan oleh Jabatan Agama Islam Negeri-negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, statistik itu direkodkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Syariah di peringkat negeri membabitkan kesalahan jenayah syariah yang boleh dikaitkan dengan LGBT dalam kalangan orang Islam.

“Untuk makluman, sepanjang tahun 2022 hingga 2025, statistik tangkapan berkenaan isu LGBT oleh Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak 135 kes kesemuanya,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah tangkapan kes LGBT, tindakan yang dikenakan serta langkah kerajaan bagi memastikan individu yang pernah ditangkap tidak kembali terjebak dalam aktiviti berkenaan.

Menurut Zulkifli, Kerajaan Madani sentiasa bertegas menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk promosi program berunsur LGBT yang bertentangan dengan nilai agama dan kesusilaan masyarakat di negara ini.

“Kerajaan sentiasa bertegas bahawa sebarang penyalahgunaan platform media sosial bagi menyebarkan dan mempromosikan aktiviti yang bertentangan dengan Islam dan nilai budaya masyarakat Malaysia perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan kes-kes jenayah syariah berkaitan LGBT dalam kalangan orang Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, manakala di Wilayah Persekutuan, tindakan boleh diambil di bawah Akta Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, individu yang disyaki terlibat tetapi tidak mempunyai bukti mencukupi tidak terus dikenakan tindakan sebaliknya diberikan pendekatan pemulihan.

“Mereka akan diberikan nasihat, kaunseling atau diarahkan menghadiri kursus kesedaran dan pemulihan berkaitan kesalahan yang bertentangan dengan akhlak serta ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan turut melaksanakan pelbagai program dakwah, kursus khas serta penyaluran bantuan tertentu bagi membimbing golongan berkenaan ke arah kehidupan yang lebih baik termasuk dalam bidang pekerjaan dan keusahawanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN