PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa merakam penghargaan atas kepercayaan Perdana Menteri kepada beliau bagi memikul tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sebelum ini.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan serta agensi-agensinya atas komitmen dan kerjasama yang sangat baik sepanjang tempoh saya menerajui portfolio ini.
“Dalam tempoh hampir dua tahun, pelbagai isu legasi yang berlarutan telah dapat ditangani secara berperingkat, termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro,” katanya.
Zaliha antara dua menteri yang digugurkan dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Turut digugurkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Zaliha dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh atas pelantikan bagi menggantikan dirinya.
“Setiap keputusan kepimpinan kerajaan dibuat berlandaskan kepentingan negara bagi memastikan kerajaan kekal stabil, berfungsi dan fokus kepada agenda reformasi,” katanya. – UTUSAN










