IPOH: Seorang lelaki berputih mata apabila mengalami kerugian RM300,651 setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud melalui aplikasi di Facebook.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 62 tahun itu menjadi mangsa penipuan selepas tertarik dengan tawaran iklan pelaburan saham di aplikasi berkenaan pada awal Oktober lalu.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon yang diberi melalui Whatsaap sebelum membuat 14 transaksi ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama syarikat.
“Menurut mangsa, wang tersebut adalah hasil simpanannya dan juga pinjaman daripada syarikat pemberi pinjam wang. Mangsa menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan,” katanya.
Menurut beliau, mangsa membuat laporan polis kelmarin dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pelaku yang terlibat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN










