Utusan Malaysia menang empat Anugerah Malam Media Perak Sejahtera 2025 - Utusan Malaysia

Utusan Malaysia menang empat Anugerah Malam Media Perak Sejahtera 2025

PETUGAS Utusan Malaysia dan Kosmo! Biro Perak bersama anugerah yang dimenangi pada Malam Media Perak Sejahtera 2025 di Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Utusan Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila merangkul empat anugerah pada Malam Media Perak Sejahtera 2025 di sini malam tadi.

Kejayaan itu bertambah manis apabila dua wartawan Utusan Malaysia termasuk daripada Kosmo! bersama seorang jurugambar, berjaya meraih tiga tempat teratas daripada sembilan kategori yang dipertandingkan.

Wartawan Utusan Malaysia, Fadzil Zainol memenangi tempat pertama bagi kategori Anugerah Berita Digital Perak Sejahtera 2030 Terbaik (Bahasa Melayu) menerusi laporan bertajuk ‘Peradaban manusia purba di Lenggong’.

Sementara itu, bagi kategori Anugerah Berita Perak Sejahtera 2030 Terbaik (Media Cetak: Bahasa Melayu) menyaksikan wartawan Kosmo!, Megat Abdullah Lutfi Megat Abdul Rahim muncul juara melalui artikel bertajuk ‘Bantuan kerajaan negeri ubah hidup Azizah’.

Kejayaan Utusan Malaysia dan Kosmo! turut disusuli pencapaian cemerlang jurugambar, Muhamad Nazreen Shah Musthafa yang memenangi tempat pertama bagi Anugerah Foto Esei Perak Sejahtera 2030 Terbaik menerusi ‘Emas hitam terbaik dunia’.

Kemenangan itu membolehkan ketiga-tiga petugas media berkenaan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 setiap seorang.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia turut mencatatkan kejayaan apabila Asliza Musa meraih tempat kedua bagi kategori Anugerah Berita Perak Sejahtera 2030 Terbaik (Media Cetak: Bahasa Melayu) dengan laporan bertajuk Legasi 100 Tahun Afiat, sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000.

Kesemua hadiah itu disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis yang berlangsung di Galasa Caldwell, di sini.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata, dalam dunia yang sarat dengan maklumat separuh benar, sensasi dan manipulasi emosi, peranan media yang bertanggungjawab menjadi semakin penting.

Beliau sendiri katanya melihat, pengamal media di Perak memainkan peranan besar, bukan sekadar mengejar kepantasan dalam penyampaian berita, sebaliknya terus menitikberatkan ketepatan dan kewibawaan laporan.

“Saya yakin, apabila kerajaan dan media bergerak seiring dengan peranan yang jelas dan saling menghormati, rakyat akan mendapat maklumat yang lebih matang, seimbang dan bermanfaat.

“Dan selagi saya diberi amanah memimpin negeri ini, hubungan ini akan terus saya jaga, saya hargai dan saya suburkan kerana saya percaya, media yang kuat dan bertanggungjawab adalah rakan kepada kerajaan yang ikhlas mencurahkan sebaik-baik khidmat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN