Utamakan kebajikan pekerja rahsia kejayaan - Utusan Malaysia

Utamakan kebajikan pekerja rahsia kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejayaan jenama Gula Cakery yang terus mencatat perkembangan memberangsangkan bukan sekadar bergantung kepada kek tular atau pembukaan cawangan baharu, sebaliknya didorong oleh cara syarikat itu mengutamakan kebajikan pekerja.

Pengasasnya, Nor Arieni Adriena Mohd. Ritzal berkata, sejak awal penubuhan, keutamaannya adalah memastikan setiap ahli pasukan berasa dihargai serta diberi peluang untuk berkembang.

“Jika mereka berkembang, perniagaan juga akan berkembang. Itu prinsip saya sejak dahulu. Apabila pekerja rasa dijaga, mereka akan melayani pelanggan dengan penuh kegembiraan.

“Pendekatan yang meletakkan pekerja sebagai keutamaan ini menjadi antara faktor utama Gula Cakery kekal kukuh dalam industri makanan dan minuman (F&B),” katanya.

Tambah Nor Arieni, perjalanan membangunkan Gula Cakery bukanlah mudah dengan mereka bermula di dapur rumah dengan hanya sebuah ketuhar serta resipi peninggalan arwah neneknya, jenama itu kini berkembang menjadi pilihan ramai.

“Resipi Tiramisu itu sangat dekat di hati saya. Ia gabungan resipi keluarga dan teknik yang saya pelajari di Itali. Apabila pelanggan menyukainya, saya rasa segala usaha kami dihargai,” kata Arieni.

“Walaupun industri makanan bergerak pantas dan penuh persaingan, kami kekal menitikberatkan kualiti melalui fokus terhadap latihan. Bagi kami, latihan bukan sekadar mempelajari teknik atau prosedur operasi standard (SOP), tetapi juga proses menggilap bakat dan membina keyakinan diri pekerja.

“Nilai seperti saling menghormati, rasa tanggungjawab, layanan mesra serta keinginan untuk terus belajar merupakan budaya kerja teras syarikat dan jenama kami,” ujarnya.

Selepas melalui tempoh penuh cabaran, Gula Cakery kini memasuki fasa pertumbuhan yang lebih agresif. Antara perancangan utama termasuk pembukaan cawangan baharu di Johor dan Bangi, selain perpindahan ke dapur pusat (central kitchen) baharu yang lebih besar dan efisien.

Jelas Nor Arieni, dia juga merancang penubuhan Training Academy Gula Cakery serta pengenalan program kesetiaan pelanggan bagi mengukuhkan hubungan dengan komuniti setia mereka.

“Ada pekerja yang dahulu kurang yakin untuk memikul tanggungjawab, kini sudah menjadi ketua. Itu antara momen paling menyentuh perasaan bagi saya,” katanya.

“Dengan semangat berpasukan yang kukuh, budaya kerja positif dan hala tuju masa depan yang jelas, Gula Cakery bukan sahaja berkembang sebagai sebuah jenama, malah sebagai sebuah keluarga profesional yang bergerak seiring.

“Bagi saya, jaga kebajikan pekerja bukan sekadar tanggungjawab, sebaliknya resipi sebenar yang membawa Gula Cakery ke tahap hari ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN