Usia bukan penghalang - Marsha Milan - Utusan Malaysia

Usia bukan penghalang – Marsha Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATA orang, hidup bermula pada usia 40 tahun. Nampaknya pandangan itu mengena tepat kepada penyanyi, Marsha Milan Londoh, yang meraih satu per satu kejayaan sepanjang empat dekad perjalanan hidupnya. 

Membuka lembaran tahun ini sebagai Juara Anugerah Juara Lagu ke- 39, diikuti kejayaan di Content Asia Awards, Taipei, sebelum mengharumkan nama negara di ASEAN-Korea Music Festival 2025 dan Sydney, Australia.

Marsha mengakui tahun 2025 berakhir manis dengan peluang  menyertai Amir Jahari dan Mimi Fly mewakili Malaysia membuat persembahan sempena acara penutup Sukan SEA di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand. 

Entah kenapa pertambahan usia dianggap satu sumpahan oleh artis wanita, ketakutan itu pernah menghantui Marsha. Bahkan, anak jati Sabah itu pernah ‘diramal’ tidak kekal lama dalam industri hiburan.

“Saya perlu akur, sampai masa, kita bertambah usia dan cara nyanyian sudah tidak lagi sama. Namun saya juga berpendapat bahawa ini semua bergantung kepada cara penerimaan kita.

“Penyanyi, Aretha Franklin pada usia tertentu masih mempunyai stamina dan momentum seperti yang dimilikinya ketika usia muda. Mendiang membuktikan usia bukan penghalang. Cuma bila ada orang berdebat tentang umur ini, sedikit sebanyak juga memberi impak kepada saya.

“Ada pihak yang menjangkakan saya tak akan bertahan dalam industri seni. Saya faham, mungkin mereka sekadar bergurau. Itu mungkin juga realiti kehidupan, tapi berbekalkan motivasi, kita akan mencari alternatif untuk mewarnai industri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Marsha pernah berputus asa dan hampir berhenti daripada mengejar impian sebagai penyanyi. Dia kemudian menerima pelawaan rakan industri untuk merakamkan lagu pop etnik Sabah. 

“Usia saya ketika itu mencecah hujung 20-an dan baharu mendirikan rumah tangga. Penyanyi, kalau sudah berkahwin, sukar kekal singnifikan. Justeru, pernah merasakan yang saya ini tak layak berada dalam industri.

“Kemudian, beberapa rakan mengajak saya sertai mereka hasilkan album etnik. Walaupun masa itu memendam rasa putus asa, hati saya masih berbisik, buat sahajalah. Walau saya ketika itu tidak terfikir pun album bakal dihasilkan itu akan membawa karier saya ke tahap lebih baik. Atas kepercayaan diri, maka terhasil lagu-lagu etnik termasuk Sumandak Sabah dan kemudiannya, album Misompuru.

“Album itulah yang mendatangkan banyak peluang untuk saya mewakili Malaysia, menyanyi di luar negara. Itu momen yang membuatkan saya sedar supaya jangan mudah putus asa dalam hidup,” ceritanya.

Berbekalkan pencapaian dan 20 tahun pengalaman dalam industri hiburan, Marsha layak diangkat sebagai juri pertandingan nyanyian. Bila disoal tentang itu, anak jati Tamparuli, Sabah ini memaklumkan meskipun terbuka menjadi juri, dia terpaksa menolak beberapa tawaran kerana kesibukan harian.

 “Sebenarnya saya banyak dapat tawaran menjadi juri lebih-lebih lagi daripada pihak stesen televisyen. Tapi itulah, saya sering menolak kerana kesibukan kerja.

“Ada banyak program antaranya ‘The Chosen One’. Sebenarnya tawaran ada cuma selalu tidak kena dengan masa. Insya-Allah tahun 2026 saya pertimbangkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN